Lain-lain

Air Asam Mom Min

Thursday, August 02, 2018

Air Asam Mom Min


Sempena dah 8 bulan tak mengupdate blog kesayangan ni, mommy nak share resepi air asam yang dikongsi oleh sahabat sekolah menengah mommy, Nur Yasmin. Dalam group whatsapp kami, beliau glamour dengan panggilan Mom Min. Macam biasa mommy akan ubahsuai sedikit mengikut citarasa sendiri. Derhaka resepi namanya. Walaubagaimanapun, dasar resepi masih sama dan tidak jauh beza. Thank you for the recipe, Min.

Mom Min bagi resepi tanpa sukatan. So kita agak2 jer la yer. Ikut la kata hati nak letak bahan2 tu banyak mana. Hihihi... Kalau buat, make sure cukup2 untuk makan. Kalau terlebih nanti hilang umphh nya tau!


Air Asam Mom Min

Kredit : Puan Nur Yasmin


Bahan :

1 biji bawang besar
1 tangkai cili hijau (dihiris)
1 tangkai cili merah (dihiris)
1 biji tomato (didadu)
5 tangkai cili padi (dihiris)
Sedikit belacan
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
Air asam jawa (dibancuh pekat)
Jus limau kasturi (optional)
Sedikit santan (mommy tambah)


Cara :

1. Tumbuk separa lumat cili padi, cili hijau, cili merah & belacan.
2. Tumbuk bersama bawang merah, tomato (separuh). Tumbuk manja2 jer yer.
3. Masukkan bahan tumbuk & baki tomato ke dalam mangkuk. Campurkan air asam.
4. Perahkan jus limau, campurkan sedikit santan. Opah selalu buat air asam campur santan.
5. Masukkan garam & gula secukup rasa. Kacau sebati. Siap!!

Ayam

Chicken Ball Yang Simple Dan Mudah

Friday, December 08, 2017

Chicken Ball Yang Simple Dan Mudah
Ok, mommy tak ingat bila mommy buat chicken ball ni. Tapi rasanya masa tu kita dah pindah ke rumah BSP. Mommy tak upload resepi tu ke blog sebab masa tu blog lama mommy domainnya dah kena suspend sebab tak bayo. Hihihi...ye la, kita pun bukan selalu senang. Akhirnya blog yang dah mommy usahakan dari tahun 2011 tu terpaksa berkubur dan mommy mulakan semula dalam blog sekarang. Jenuh weh, nak cari gambar-gambar lama. Mujur masih disimpan dalam laptop. Elok jer mommy settle buat balik blog ni, laptop pun rosak. Huhuhuhu...

Actually boleh jer beli nugget atau chicken ball yang ready made kan. Tapi, saja la nak try buat sendiri. Mommy pun tak ingat dari blog mana mommy rujuk resepi chicken ball ni. Mommy harap tuan punya resepi halalkan la resepi yang mommy siarkan dalam blog ni. Jom kita baca dan cuba resepi ni.


Chicken Ball Yang Simple Dan Mudah


Bahan-bahan :

4 ketul isi ayam -dicincang/dikisar kering
1 bj telur -dikocak
2-3 sdb tepung jagung
1 ketul kiub ayam Maggi (mommy guna perencah mi Maggi ayam)
Sedikit garam -jika perlu
Serbuk roti secukupnya
Minyak untuk menggoreng


Cara-cara :

1. Gaul sebati semua bahan kecuali serbuk roti.
2. Kemudian bentukkan bulat-bulat menjadi bebola sebesar bola pingpong. Jangan terlalu besar kerana dikhuatiri isi di dalam tidak masak dengan baik ketika menggoreng nanti.
3. Golekkan atas serbuk roti sehingga rata ke seluruh permukaan bebola. Golekkan sehingga habis bebola yang telah dibentuk tadi.
4. Panaskan minyak yang banyak dalam kuali.
5. Setelah minyak betul-betul panas, kecilkan sedikit api dan mula la menggoreng.
6. Balik-balikkan bebola agar masak sekata.
7. Setelah bebola bertukar ke warna keemasan, bolehlah diangkat dan ditos dengan kertas tisu dapur.
8. Bila dah sejuk sikit, bolehlah dihidang dan dinikmati dengan sos cili Thai.

Jika adunan agak lembik, boleh capurkan sedikit serbuk roti ke dalam campuran ayam.

Lain-lain

Pulut Kuning Untuk Ulin

Thursday, October 26, 2017


Pulut Kuning

Mommy tak pernah sediakan pulut kuning untuk family kita. Tak pernah cuba buat langsung walaupun suka makan pulut kuning ni. Tapi mommy akhirnya buat jugak sempena Ulin naik Al-Quran hari tu. Niat tu nak buat banyak tapi mampu sediakan 1kg pulut jer. Tak terdaya nak buat banyak. Cukuplah untuk kita menikmatinya bersama-sama. Kebetulan opah dan tok datang, dapatlah merasa jugak air tangan mommy yang tak seberapa ni. Sebahagian kecil pulut kuning tu mommy sebelahkan untuk bagi kepada ustaz dan ustazah di Akademi Darul Abrar, yang mengajar Ulin, Ilan dan Arman mengaji.

Pulut kuning ni kita makan dengan rendang ayam. Mommy pun tak pandai sangat buat rendang. Tapi rasa dia, boleh tahan la. Opah pun puji tau. Hahahaha...Kira puas hati la makan pulut kuning walaupun 1st time buat. Resepi ni mommy belajar dari cikgu meroti mommy, Puan Roszana. Terima kasih ticer, mohon halalkan ilmu yang saya share ni yer.


Pulut Kuning

Kredit : Puan Roszana Ismail


Bahan-bahan :

1kg beras pulut
2 keping asam gelugur
1 sdb serbuk kunyit
2 ½ cawan santan pekat (mommy pakai santan kotak)
½ sdb gula
2 sdt garam
1 helai daun pandan -disimpul
Daun pisang untuk alas pengukus (boleh juga alas dengan kain jaring)


Cara-cara :

1. Cuci beras pulut, lepas tu rendam dalam air bersama asam keping dan serbuk kunyit. Pastikan serbuk kunyit sebati dengan air dan pulut supaya dapat warna kuning yang sekata. Rendam sekurang-kurangnya 3 jam.
2. Cukup jer masa rendam pulut, panaskan pengukus. Tau kan?
3. Alaskan loyang pengukus dengan daun pisang atau kain jaring. Mommy tak alas apa-apa sebab lubang pada pengukus mommy tu kecil jer.
4. Tos air rendaman beras pulut dan buang asam gelugurnya. Tuangkan pulut ke atas loyang. Kalau tak letak alas, tuang perlahan-lahan yer. Daun pandan yang dah disimpul tadi letak jer di celah-celah beras pulut tu. Kukus selama 20 minit.
4. Cukup masa 20 minit, keluarkan beras yang dah jadi pulut tu. Api dapur tu biarkan hidup yer sebab belum habis lagi proses mengukus ni. Hihihi...
5. Campurkan gula dan garam ke dalam santan dalam periuk kecil. Panaskan seketika atas dapur. Jangan sampai mendidih pulak tau. Cukup sekadar naik wap. Tujuannya agar pulut kuning tahan lama dan tak mudah basi.
6. Bila santan dah naik wap, tutup api dan gaulkan dengan pulut tadi. Tuang dan gaul sedikit demi sedikit sampai semua santan sebati dengan pulut. Rehatkan pulut dalam 10 minit.
7. Cukup 10 minit, kukus semula pulut tersebut selama 30 minit. Siap dah pulut kuning kita. Yeay!

Rata dan padatkan dalam mangkuk atau pinggan leper yang lebar untuk dihidangkan.

Pulut yang dah dirata dan dipadatkan dalam mangkuk.

Lain-lain

Sambal Belacan Sedap

Thursday, April 27, 2017

Sambal Belacan Sedap


Yeeaaaaaayyyyyyy, akhirnya Mommy berjaya buat sambal belacan!!!! Hahahahaha....orang lain semua dah berkurun lama buat sampai dah terer, Mommy baru nak buat! Tapi takpe... walaupun pertama kali buat, Daddy puji tau! Fuhhh....lega. Pengkritik tetap tuh!

Lebih menggembirakan bila Ulin dan Ilan pun suka sambal belacan Mommy. Copia pun suka tau! Tak padan dengan kecik! Sikit jer boleh yer dik. Adik kecik sangat lagi. Ulin dan Ilan pun jangan makan banyak sangat. Sebab kalau makan sambal belacan, confirm esok pagi senang ke jamban! Hahahaha...tapi alhamdulillah tak sakit perut.

Jom tengok resepi. Owh ya. Biasanya orang tumbuk sambal belacan ni. Tapi Mommy blend. Sampai halus pulak tu. Hihihi...takpe, itu style Mommy kan!


Sambal Belacan Sedap


6 tangkai cili merah -dibuang biji
15 biji cili padi
1/2 inci tebal belacan -saiz 2"x3"
1 biji bawang merah -dihiris
3 ulas bawang putih -dihiris
1 sdt udang kering
2 sdb minyak masak
Gula
Garam

Goreng sebentar sampai warnanya cantik macam ni.


Cara:

1. Panaskan minyak dalam kuali. Goreng sebentar kesemua bahan hingga warnanya cantik.
2. Kemudian masukkan semua bahan tadi dalam pengisar. Jangan lupa masukkan sedikit air. Sikit jer yer.
3. Kisar separa hancur atau hancur sepenuhnya.
4. Perisakan dengan garam dan gula. Dalam 1 sdb gula dan 1 sdt garam. Agak-agak la yer. Siap!!

Kalau hari-hari makan sambal belacan, boleh punah diet wooo...


Sangat sedap dipadankan dengan lauk kari. Mabelessss!!!

Lain-lain

Cili Kisar Cara Saya

Friday, March 10, 2017

Cili Kisar cara saya.

Okeh, dalam resepi-resepi yang saya kongsikan dalam blog ni banyak yang guna cili kisar. Cili kisar saya ni sudah termasuk dengan bahan-bahan lain juga. Bukan cili semata-mata yer. Ada sesetengah orang guna cili boh. Saya tak berapa suka dengan cili boh. Saya tak reti nak adjust masakan saya kalau guna cili boh. Maka saya lebih suka guna cili kisar yang saya hasilkan sendiri. Lain orang lain cara. Ikut la mana-mana senang dan sesuai.

Saya suka buat sebekas besar dan simpan dalam peti sejuk. Buat stok siap-siap senang. Nak guna, cedok jer. Nak goreng mi, bihun, buat sambal nasi lemak, ayam masak merah, semua nak guna cepat tu. Tambah-tambah saya memang bekalkan makanan untuk anak-anak ke sekolah. Takkan pukul 5pagi nak masak bihun goreng, jam itu jugak nak blend cili yer dak? Kacau jenjiran nak tido jer. Hihihi.... So, kesimpulannya, buat la lebih supaya senang nak masak!


Cili Kisar

Bahan:

1 mangkuk cili kering kerinting
6 biji bawang besar -campur bawang kecil lagi sedap
1 labu bawang putih
1 inci halia
1 inci belacan
3 sdb minyak masak
1/2 cwn air -untuk kisar (boleh tambah sikit-sikit ikut keperluan)
Air -untuk rebus cili

Cili kering, bawang besar, bawang putih, halia dan belacan.


Guna bakul untuk tapis keluar biji cili kering.



Agak-agak sukatan cecair tak lebih separuh dari bahan-bahan.



Selepas keluarkan cili kisar, goncang bekas pengisar dengan sedikit air supaya baki cili kisar dapat dikeluarkan.


Cara:

1. Gunting cili padi secara menyerong. Tampi dalam bakul tapis yang berlubang jarang untuk asingkan biji. Bijinya yang buat pedas tu.
2. Bilas cili kering yang telah digunting.
3. Masukkan cili kering dalam periuk dan isi air separas cili. Masak hingga mendidih dan tutup api. Ketepikan sebentar.
4. Sementara itu, kupas bawang besar, bawang putih dan halia. Bahan-bahan ikut suka jer sukatan tu. Agak-agak sendiri jer.
5. Potong bawang kepada bahagian yang lebih kecil, bawang putih dibelah dua, halia dihiris sedikit dan belacan dibakar sebentar. Masukkan kesemuanya ke dalam pengisar. Masukkan juga cili kering yang telah direbus tadi tanpa airnya.
6. Masukkan minyak dan 1/2 cawan air ke dalam pengisar. Mula mengisar. Jika pengisar tersekat-sekat, mungkin kerana tidak cukup air. Jadi tambah sedikit air sehingga pengisar dapat mengisar dengan lancar.
7. Kisar sehingga hancur dan sebati kesemua bahan.
8. Kemudian boleh disimpan dalam bekas yang bersih dan letakkan di bahagian chiller. Jika menghasilkan cili kisar yang terlalu banyak, simpan ia di bahagian sejuk beku dan hanya keluarkan sebahagian untuk memudahkan proses memasak.

Kalau cili kisar dah ready, baru senang nak masak kan!

Like us on Facebook

Flickr Images