Jagung

Bengkang Jagung Resepi Opah

Friday, March 31, 2017

Bengkang Jagung @ Bingka Jagung


Bengkang jagung, sesetengah orang panggil bingka jagung. Kedua-duanya sama jer. Bengkang jagung ni resepi opah. Opah buat masa kita balik Ipoh cuti seminggu hari tu. Masa tu nenek (emak kepada tok) ada di Ipoh. Nenek tak sihat dan opah tolong jaga. Jadi opah buat bengkang jagung ni untuk dijamu kepada tetamu yang datang menziarah nenek. Mommy pinjam gambar jer. Nanti Mommy dah buat, Mommy upload gambar bengkang jagung Mommy pulak yer. 

Mommy memang suka makan bengkang jagung ni. Tapi, suka makan tak bermakna kita kena buat selalu kan! Ekekekekekeke....Ulin Ilan Arman malah Soffiya pun suka makan bengkang ni tau. Nanti la bila-bila Mommy buat yer. Jom Mommy share resepi yang Mommy minta daripada opah ni.

Makan bengkang ni macam tak boleh berhenti selagi tak habis!!!


Bengkang Jagung

Kredit : Puan Rosnani



5 tongkol jagung tua -dihiris isinya sahaja
1 cawan tepung gandum
1 cawan tepung beras
1 cawan gula
2 biji telur
1 kotak kecil santan (200ml)
1 sdt garam halus
1 sdt air kapur


Cara:

1. Kisar semua bahan-bahan menggunakan pengisar. Jangan guna yang korang blender cili. Mesti kena ada 1 lagi blender lain untuk buah atau buat kuih.
2. Sapu atau spray loyang (8" x 8") dan tuang adunan yang telah dikisar ke dalam loyang tersebut.
3. Panaskan oven selama 15 minit. Kemudian bakar adunan dengan suhu 140 C selama 45 minit atau sehingga masak.
4. Macam biasa, cucuk dengan lidi untuk tahu dah masak atau belum. Jika lidi yang ditarik keluar tu licin, maknanya bengkang dah masak. Jika masih basah, perlu dibakar lagi. Tambah masa jika perlu.
5. Sejukkan sebelum dipotong dan dimakan. Seeloknya bakar malam dan makan pada pagi esoknya.

Bengkang jagung resepi opah.


Sedapnya bengkang jagung...adusss!!

Lauk-pauk

Sambal Sotong Sayap

Wednesday, March 29, 2017

Sambal Sotong Sayap


Kenapa nama ia sotong sayap? Sebab tu nama dia la kan. Ni sotong kering tau. Bukan sotong basah. Ingat tak kalau kita balik Ipoh, kalau free, Daddy bawa kita pergi Lumut? Daddy akan borong sotong sayap ni sampai kosong tray peniaga tu. Mommy pulak akan beli ikan bilis dan belacan. Ulin Ilan Arman confirm la beli segala keropok udang la, sate ikan la, sotong gula la...Ingat tak?

Dulu-dulu kalau beli sotong sayap ni memang banyak sayap sotong jer. Pastu jenuh nak kena asingkan tulang sotong yang banyak giler yang bercampur dalam sotong tu. Tapi sekarang tak. Boleh kata semua badan sotong jer. Elok la gitu kan. Setakat ni, Ulin dan Ilan jer yang makan sambal sotong ni. Arman memang belum lagi. Soffiya advance sikit dari Arman sebab dah start colek-colek sambal.

Ok, basically masak sambal sotong sayap ni sama jer macam masak sambal bilis. Senang jer. Alhamdulillah, sambal Mommy champion di hati Daddy. Daddy akan makan bertambah-tambah nasi kalau Mommy masak sambal sotong sayap ni. So, anak-anak Mommy kena cuba buat sampai jadi ok! Jom tengok.


Sambal Sotong Sayap


2 mangkuk kecil sotong sayap (agak-agak la banyak mana, tengok gambar)
6 sdb cili kisar (search cili kisar dalam ni yer)
1 biji bawang besar -dihiris
3 ulas bawang putih -dihiris
1 biji bawang besar -dipotong bulat
1 sdt asam jawa extra
1 sdb sos tiram
6 sdb minyak masak
3 sdb gula
Garam
Air

Sotong sayap

Cili kisar, asam jawa extra, bawang putih, bawang besar, bawang besar bulat.


Cara:

1. Rendam sotong dan ketepikan. Sementara itu sediakan bahan-bahan lain.
2. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga sedikit layu.


3. Masukkan cili kisar dan tumis hingga terbit minyak. Kacau la sikit-sikit yer. Jangan bior jer sambal tu.


4. Kalau nampak sambal macam nak hangit tu, masukkan asam jawa dan sedikit air ke dalam sambal. Kacau.
Asam jawa extra campur dalam sedikit air.
Nampak tak minyak mula terbit? Nampak tak macam nak hangit sambal tu?




5. Masukkan sos tiram dan kacau.


6. Toskan air rendaman sotong.


7. Masukkan sotong ke dalam kuali. Kacau lagi yer.


8. Masukkan garam dalam secubit dua dan gula. Gula tu masukkan sikit-sikit tau. Kacau dan imbangkan dengan garam sampai dapat rasa macam yang Mommy selalu masak. Ingat tak? Hehehe


9. Lepas tu masukkan bawang bulat. Kacau kacau kacau kacau kacau sampai bawang bulat tu lembut, pastu tutup api. Dah siap.....! Senang kan?



Sedap makan dengan nasi lemak woo.... Bertambah-tambah nasinya!

Kuih-muih

Si Nona Manis Yang Viral

Thursday, March 16, 2017

Kuih Nona Manis

Akhirnya... Cik Nona Manis unlocked! Lama simpan hajat nak me'nona manis'. Tapi asyik tak kesampaian. Semalam, berbekalkan santan yang masih berbaki lebih 500ml, jadi jugak kuih yang viral ni. Tapi dek kerana tak pernah buat kuih ni, sibuk nak sukat bahan, jam itu jugak nak shooting gambar untuk blog, ditambah takde pembantu dan dalam masa yang sama kena jeling jugak anak-anak tu kan. Agak meletihkan. Almaklum...amatur ler katakan. Hadeih...

Dimulakan dengan menyukat bahan-bahan, lepas tu susun bahan, ambil gambar pulak, ubah posisi, ambil gambar lagi. Cahaya pulak tak cantik, nampak bayang-bayang lah, angle tak cantik la. Aduhai...letih. Hasilnya macam gambar yang ada tu la. Ate, kita bukan ambil jurusan fotografi. Belasah jer la labu. Yang penting resepinya tu menjadi. So, apa tunggu lagi? Jangan biarkan acuan lompang tu tertonggeng jer dalam almari dapur!


Puas hati makan macam ni. Tengok yang putih tu lembik-lembik...sedap uiii !!!

Eh, jap. Dalam resepi ini, air pandannya disediakan dengan cara mengisar daun pandan itu sendiri. Tapi saya pula hanya gunakan esen pandan sebabnya tiada daun pandan di rumah saya. Boleh jer. Baunya tetap wangi. Yang penting, pandan yer. Satu lagi, kalau nak mudah sikit, bahan A dan bahan B tu tak payah asingkan. Sekalikan jer sukatannya. Err...faham tak agak-agaknya?


Kuih Nona Manis
(Untuk adunan ini, saya dapat 30 biji kuih Nona Manis)

Rujukan : Azlita Masam Manis


Bahan A:

1 biji telur
1 cawan tepung gandum
1/2 cawan gula halus
1 cawan santan pekat (saya guna 1 kotak kecil santan + air,dan dijadikan 1 cawan)


Bahan A

Bahan B:

1/2 cawan santan pekat
1/2 cawan air pandan (saya guna air biasa jer)
1 sdt esen pandan
1/4 cawan gula halus
1/4 cawan tepung jagung
1/2 sdt garam halus
1/2 sdt pewarna hijau (warna ikut kesukaan masing-masing)


Bahan B

Bahan C:

1 cawan santan pekat (saya guna 1 kotak kecil santan + air, dan dijadikan 1 cawan)
1 sdb tepung gandum
1 sdb gula pasir
1/2 sudu teh garam halus

Bahan C


Cara:

1. Bahan A; pukul telur hingga kembang. Tapi saya kisar guna blender jer. Masukkan pula bahan-bahan A yang lain dan kisar bersama dengan telur. Ketepikan adunan A.
2. Bahan B; satukan gula, tepung jagung dan garam. Kemudian masukkan santan dan air. Kacau sebati supaya tidak berbintil-bintil dan titiskan pewarna hijau. Sebatikan adunan B.
3. Kemudian masak dengan api sederhana dan sentiasa kacau adunan B. Adunan B akan meletup-letup dan menjadi pekat. Tutup api dan biarkan sehingga suam-suam kuku.
4. Satukan adunan A dan adunan B. Kacau rata dan kisar supaya adunan hijau ini lebih sebati. [A+B=adunan hijau]
5. Bahan C; satukan kesemua bahan dan kacau sebati. Masak atas api sederhana sambil sentiasa dikacau hingga adunan putih ini pekat. [C=adunan putih]
6. Panaskan periuk pengukus hingga airnya mendidih. Balut penutup periuk pengukus dengan kain bersih supaya airnya tidak menitis pada kuih. Saya tak balut pun. Pandai-pandai ler nak elak menitis tu. Hehe...
7. Masukkan adunan putih ke dalam piping bag atau beg plastik di bahagian bucu. Gunting sedikit bahagian bucu plastik tersebut.
8. Sediakan acuan lompang dan oleskan minyak pada acuan tersebut. 
9. Tuangkan adunan hijau ke dalam acuan lompang sehingga 3/4 penuh. Kemudian picit adunan putih di tengah-tengah adunan hijau sehingga naik memenuhi acuan lompang.
10. Kukus selama 7-10 minit. Kemudian angkat dan sejukkan dahulu sebelum dikeluarkan dari acuan.


Adunan hijau dituang sehingga 3/4 penuh acuan.

Adunan putih dipicit di tengah-tengah adunan hijau.

Nona Manis sudah sedia untuk dinikmati. Yummeh!!!
Selain hijau, menarik juga jika diwarnakan pink, ungu atau oren. Kan???

Kudapan

Crabstick Rolls

Tuesday, March 14, 2017

Crabstick Rolls


Ada satu masa tu Mommy rajin betul beli crabstick. Selain buat popia crabstick, Mommy buat crabstick rolls. Hari ni Mommy selak album lama, terjumpa gambar ni. So, Mommy rasa nak post resepi mudah ni. Kalau takde idea nak minum petang, cuba buat yang ni.

Mommy tahu Ilan tak suka crabstick. Tapi Ilan sendiri tak tahu kenapa Ilan tak suka. Daddy pun tak suka crabstick. Daddy tak suka bila sendawa bau crabstick. Sebab tu dia tak makan. Disebabkan Mommy dan Ulin jer yang suka, Mommy ambil keputusan untuk tidak lagi beli crabstick ni. Takpe, as usual Mommy memang akan berkorban dalam hal makanan.

Okeh, tak payah nak sedih-sedih sangatlah. Jom tengok bahan-bahannya. Crabstick boleh ganti dengan sosej atau otak-otak jugak yer. Selamat mencuba. Ulin, cuba buat sendiri yer. Senang jer.


Crabstick Rolls


Crabstick
Roti putih
Telur
Bread crumbs
Garam halus
Minyak masak


Cara:

1. Gelek roti putih hingga nipis. Ulang proses untuk semua roti yang hendak digunakan.
2. Letak crabstick melintang di bahagian hujung roti yang telah dinipiskan tadi. Gulung sehingga hujung roti dan tekan sedikit bahagian hujung gulungan. Susun rolls dalam pinggan dengan bahagian hujung gulungan ditekan ke bawah.
3. Kocak telur dalam pinggan dengan sedikit garam. Dalam pinggan leper, taburkan bread crumbs.
4. Panaskan minyak yang banyak dalam kuali. Setelah minyak panas, kecilkan sedikit api dapur.
5. Celup rolls dalam telur dan golekkan atas bread crumb. Goreng dalam minyak hingga kuning keperangan. Angkat dan tos. Siap.

Sesuai dihidang untuk sarapan atau minum petang. Boleh juga dijamu kepada tetamu.

Ikan Bilis

Sambal Ikan Bilis Kering

Tuesday, March 14, 2017

Sambal Ikan Bilis Kering.


Semalam saya buat ayam masak kurma. Tekak saya taknak pun makan lauk tu. Tapi sebab santan kotak besar tu dah terbukak, makanya kena la masak lauk yang guna santan. Saya tak gemar simpan santan dalam freezer. Kalau dah bukak sekotak, saya akan simpan dalam chiller sahaja dan habiskan dalam 3-4 hari. Selalunya saya beli kotak kecil. Tapi hari tu gatal pulak beli kotak besar. Hurm...Nasib ler...nak murah, pening kepala plak nak habiskan.

So, sebabkan lauk kurma tu bukan lauk pedas, saya ambil keputusan drastik (drastik hokay) untuk buat sambal ikan bilis kering. Lauk yang simple tetapi menyelerakan. Cara masak tak jauh beza pun dengan sambal tumis ikan bilis. Senang jer. Jadi sesuai la kombinasi hidangan kami bila ada kuah kurma, sayur kubis goreng dan sambal kering sebagai pelengkap rasa. Sambal...pada saya bila-bila pun sesuai. Jadi, jom masak sambal.



Sambal Ikan Bilis Kering


Bahan:

1 mangkuk ikan bilis -saya beli yang telah dikopek
3 sdb cili kisar -semak cili kisar cara saya dalam blog ni
1/2 sdt pes asam jawa extra
1 sdt sos tiram
2 sdb air
1 sdb gula -boleh kurang atau lebihkan
5 sdb minyak masak
Garam


Cara:

1. Panaskan minyak dan goreng ikan bilis hingga garing. Tos dan ketepikan.
2. Guna minyak yang sama, tumis cili kisar hingga terbit minyak. Dalam cili kisar ni dah ada bawang besar, bawang putih, halia dan belacan.
3. Masa terbit minyak tu masukkan air untuk elak sambal hangit. Kacau rata.
4. Masukkan pes asam jawa extra dan sos tiram. Kacau rata.
5. Masukkan gula dan garam secukupnya. Kalau rasa dah ok, masukkan ikan bilis goreng tadi. Gaul rata dan siap!

Sedap dimakan dengan nasi putih, roti putih atau digulung dalam roti canai. Yummeh!

Daging

Daging Black Pepper

Monday, March 13, 2017

Daging Black Pepper.


Entry ni lama betul tertangguh. Mungkin masa ni saya sedang busy testing buat kek harijadi kot. Tu yang sekarang baru dapat post. Mungkin jugak setiap kali menaip, saya tersengguk-sengguk. Sebabnya setiap hari bangun jam 5 pagi dan tidur jam 12 malam. Kalau dapat lelap sekejap tengahari tu kira bertuah la. Selalunya tak dapat tidur pun.

Okeh...kami jarang sangat beli daging. Kalau beli pun saya akan buat masak lemak. Takpun masak kicap. Tapi disebabkan kali ni encik suami borong daging sampai 2kg, takkan saya nak ulang masak lemak jer? Tak lalu tekak saya telan santan. Huhuhu...

Disebabkan lepas beli barang basah tu kami ke hypermarket pula, saya ambil kesempatan la beli itu dan ini. Otak kena cepat fikir menu untuk seminggu atau 2 minggu supaya kami boleh terus shopping barang dapur. So, inilah peluang untuk saya pelbagaikan menu hidangan kami sekeluarga.

Kuah yang tak berapa pekat. Ikut la mana-mana yang digemari.


Daging Black Pepper

Bahan:

1/2 kg daging -dihiris
1 biji bawang besar -dibelah 4
2 ulas bawang putih -diketuk
1 inci halia -dihiris
2 sudu lada hitam -ditumbuk
1 biji tomato -dibuang bahagian tengah dan didadu
Sedikit capsicum hijau-didadu
1 sdb sos tiram
2 sdb sos black pepper
2 sdb tepung jagung -dibancuh dengan 1/2 cawan air
3 sdb minyak masak
Garam
Air


Cara:

1. Rebus daging hingga empuk. Ketepikan.
2. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bawang besar, bawang putih dan halia hingga kekuningan.
3. Masukkan daging yang telah direbus tadi beserta air rebusan sekali.
4. Masukkan sos tiram dan sos black pepper. Kacau sebati.
5. Masukkan pula lada hitam dan garam. Kacau.
6. Masukkan tomato dan capsicum. Gaul sebentar, tuang sedikit demi sedikit bancuhan tepung jagung hingga dapat kepekatan yang diingini.
7. Tunggu mendidih dan tutup api. Siap.

Boleh ganti capsicum dengan kucai, asparagus atau kacang panjang. Yang penting hijau!

Ayam

Ayam Masak Kurma @ Kurma Ayam

Monday, March 13, 2017

Ayam Masak Kurma @ Kurma Ayam


Ayam masak kurma atau kurma ayam biasanya dihidangkan bersama nasi tomato dan acar timun. Tapi ianya boleh juga dihidangkan bersama nasi putih. Dalam lauk kurma ayam ni disertakan juga kentang sebagai penambah kepada tekstur lauk. Chewah...sebenarnya takde idea nak taip apa. Hihi..

Ni lah masalah seorang suri. Jenuh la fikir nak masak apa hari-hari. Nak bagi suami dan anak-anak makan. Selalu sangat lauk siaran ulangan. Balik-balik lauk itu, itu, itu jugak. Hihihi...anak saya sedang baca entry ni sambil saya menaip. Dia ketawa part 'itu, itu, itu jugak'. 😂

Sudah-sudah la tu. Takde idea pun, panjang jugak saya merapu. Kepada yang amatur macam saya, boleh cuba hidangan ini yer.

Separuh jer ni. Separuh lagi untuk tengahari esok. Jimaaaaattttt...!!!!


Ayam Masak Kurma @ Kurma Ayam


Bahan:

1/2 ekor ayam -dipotong 8 bahagian
2 ulas bawang putih -dihiris
1/2 biji bawang besar -dihiris tebal
1/2 inci halia -dihiris
1 batang kulit kayu manis
1 biji bunga lawang
2 sdb rempah kurma -saya pilih Baba's
1/2 cawan santan pekat -saya pilih santan kotak Ayam Brand
2 cawan air
2 biji kentang -setiapnya dibelah 4
4 sdb minyak masak
Garam

Ayam, kentang, serbuk kurma, bawang besar, bawang putih, santan, halia, kulit kayu manis, bunga lawang.


Cara:

1. Panaskan minyak masak dalam periuk. Tumis kulit kayu manis dan bunga lawang hingga naik bau. Pastikan api sentiasa sederhana.
2. Masukkan pula bawang besar, bawang putih dan halia. Tumis hingga layu atau kekuningan.
3. Masukkan pula rempah kurma. Terus masukkan sedikit air supaya tidak hangus. Boleh juga bancuh rempah dengan sedikit air supaya menjadi pes kurma. Kemudian baru masukkan dalam periuk. Tumis hingga garing atau terbit minyak.
4. Masukkan air dan ayam. Kacau sedikit. Tutup periuk dan biar ayam mereneh dengan api sederhana.
5. Setelah ayam empuk, masukkan pula kentang. Tambah sedikit lagi air jika suka. Masak hingga kentang empuk.
6. Masukkan santan dan kacau. Perisakan dengan garam dan tunggu mendidih sedikit. Tutup api dan siap!

Boleh juga masukkan lobak merah dan cili hijau jika suka.

Ayam

Ayam Goreng Kunyit Paling Simple

Monday, March 13, 2017

Ayam Goreng Kunyit paling simple.


Hari Isnin adalah hari menu simple untuk encik suami. Selalunya saya akan masak lebih untuk bekal esok hari. Disebabkan hari Ahad saya jarang masak sekarang ni, makanyer, tiada bekalan untuk dibawa ke pejabat. Lalu terhasillah menu simple ni. Kesian encik suami makan simple jer. Tapi kami pun sama kat rumah. Yang simple jugak. Janji perutnya kenyang dan dapat bekerja dengan baik demi seperiuk nasi untuk keluarga kecil kami yang semakin membesar ahlinya.

Cukup untuk seorang makan jer ni.
Untuk amatur macam saya, menu ni memang penyelamat. Almaklum ler Monday blues kan? Ingat orang pejabat jer ada blues? Orang dok rumah pun ada tau. Kami pun bekerja jugak. Dulu masa kerja, memang bercinta la nak gi office. Sekarang tak la macam tu. Sambil layan blues tu, siap jugak bekalan untuk suami. Ayam goreng kunyit lawan nasi goreng kuning. Tapi dalam entry ni saya cuma letak ayam goreng kunyit jer.


Ayam Goreng Kunyit


Bahan:

2 ketul dada ayam -dihiris
5 tangkai kacang buncis -boleh ganti kacang panjang
1/4 biji bawang Holland -dihiris tebal.
1 sdt serbuk kunyit
Garam halus
Minyak masak

Dada ayam, kacang buncis dan bawang Holland.


Cara:

1. Lumur ayam dengan serbuk kunyit dan garam halus. Saya memang lebih suka gunakan garam halus dalam semua masakan saya.
2. Panaskan 3 sudu besar minyak dalam kuali dan goreng ayam sehingga kekuningan. Ketepikan.
3. Dalam kuali sama, tumis bawang Holland hingga kekuningan. Masukkan kacang buncis dan goreng hingga bertukar warna hijau segar.
4. Masukkan ayam yang telah digoreng tadi. Taburkan secubit serbuk kunyit dan garam. Goreng sebati dan angkat. Siap sudah...

Boleh tambah cili merah untuk lebih ceria dan penambah perisa dalam hidangan ini.

Ayam

Kari Ayam Ala Mommy

Monday, March 13, 2017

Kari Ayam Ala Mommy


Assalamualaikum anak-anak mommy. Nak masak kari pulak yer? Hihihi. Jom mommy ajar.

Dulu kan...mommy ingat masak kari tu susah. So, jarang sangat la meng'kari'. Baru jer 1-2 tahun ni rajin masak kari. Dah selalu masak ni, baru ler tau senang jer rupanya. Lagipun Ulin & Ilan time kecik-kecik dulu tak pandai makan lagi. Sekarang korang dah besar, dah pandai makan, boleh la mommy masak macam-macam. Arman jer susah nak bagi makan. Takpe, insyaallah...pelan-pelan kita ajar dia makan pelbagai makanan.

Dah...dah...jangan banyak cakap, jom la mommy ajor camaner nak masak kari. Eloknya masa mommy masak kari tu, tengok! Kalau mommy jauh, call. Andaikata mommy dah takde, sini la tempat korang nak refer. Kalau tak tau jugak, tengok youtube. Takpun, pandai-pandai la korang tanya sapa-sapa yang terer meng'kari'. Tanya tukang masak kat kedai mamak pun boleh. Hahahaha



Kari Ayam Ala Mommy
(Untuk 4-5 orang, 1 kali makan)

1/2 ekor ayam -dipotong 8 bahagian
1 kuntum bunga cengkih
1 batang kulit kayu manis
2 biji buah pelaga
1 biji bawang besar -ditumbuk
2 ulas bawang putih -ditumbuk
1 inci halia -ditumbuk
4 tangkai daun kari
3 sdb serbuk kari daging Baba's -campur sedikit air dan jadikan pes
100ml santan pekat -dalam 1/2 kotak kecil
2 biji kentang -setiapnya dibelah 4
1 keping asam gelugur
4 sdb minyak masak
Garam
Kiub ayam -optional


Cara:

1. Panaskan minyak dalam periuk, tumiskan kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga sehingga naik baunya.



2. Masukkan pula bahan tumbuk (bawang besar, bawang putih dan halia), tumis hingga layu dan kekuningan.



3. Kemudian masukkan daun kari dan tumis hingga terbit bau karinya.



4. Kemudian masukkan pes kari. Tuang sedikit air supaya tak hangit. Tumis hingga terbit minyak.





5. Setelah terbit minyak, masukkan ayam dan gaul sebati ayam dalam rempah sehingga ayam sedikit kecut. 



6. Setelah ayam kecut dan sebati dengan rempah kari tadi, tuang air separas ayam. Jangan banyak sangat air nanti kuah cair dan tak rasa karinya. Kalau tak cukup air, boleh tambah kemudian. Biarkan mendidih sehingga ayam separuh atau hampir masak.



7. Setelah ayam hampir masak, masukkan pula kentang dan asam gelugur. Biarkan mendidih lagi hingga kentang cukup lembut. Cuba cucuk dengan garfu untuk test kentang dah empuk atau belum.



8. Setelah kentang cukup lembut, tuang santan dan perisakan dengan garam dan kiub ayam (optional). Biarkan mendidih seketika dan tutup api.



Kalau nak kari yang pekat, lebihkan sikit rempah dan santan pekat. Takpun, kurangkan jer airnya.

Kuih-muih

Bengkang Roti @ Bingka Roti

Monday, March 13, 2017

Bengkang Roti @ Bingka Roti


Saya panggil bengkang roti. Ada yang panggil bingka roti. Mana-mana pun boleh. Ia antara kuih-muih atau kudapan yang mudah untuk disediakan, selain ia sesuai untuk sarapan dan minum petang. Selalunya kalau beli roti tapi tak habis dimakan sebelum tarikh luput, inilah hasilnya. Tak membazir dan cepat pula habis.

Tidak bagi keluarga kami, roti tu dah macam makanan ruji seperti nasi. Sekali beli memang dua buku yang panjang. Insyaallah habis sebelum tarikh luput. Kuat makan roti kami ni, terutama anak yang ke-3. Hari-hari roti memang tak jemu. Untuk entry kali ini, sengaja saya simpan roti yang ada tu walaupun belum tamat tempoh. Memang target nak buat bengkang roti ni. Almaklum, hari-hari anak bawa bekal ke sekolah. Jadi saya kena siap sedia dengan menu yang hendak disediakan.

Bahan-bahannya mudah, semudah cara membuatnya. Resepi ini saya dapat hasil perkongsian sahabat sekolah menengah saya, Puan Erma Juniza. Beliau berniaga pelbagai kuih-muih dan mempunyai perniagaan katering. Jom buat bengkang roti.

Masih dalam loyang, telah sejuk dan sedia dihidang.


Bengkang Roti @ Bingka Roti

Credit : Puan Erma Juniza


Bahan:

3 biji telur
1 sdt garam halus
7 sdb gula
1 tin susu cair (boleh ganti dengan 1 cwn santan)
1 cawan air
1 cawan tepung gandum
7 keping roti putih
Sedikit kismis hitam
Butter


Cara:

1. Pukul telur dengan gula dan garam. Masukkan susu cair dan air. Kacau sebati.
2. Masukkan tepung gandum dan kacau sebati. Boleh juga kisar hingga halus semua bahan guna pengisar (kecuali roti dan kismis).
3. Sapu/spray butter pada loyang. Tuang adunan tadi ke dalam loyang. Koyak-koyakkan roti dan rendamkan ke dalam adunan tadi. Saya tekan-tekan sikit bagi roti tu tenggelam.
4. Panaskan oven 15 minit sebelum membakar.
5. Masukkan loyang berisi adunan ke dalam oven. Bakar dengan suhu 140 C selama 40 minit. Biarkan sejuk sebelum dipotong.

Saya bakar pada waktu malam dan makan esok paginya.

Pukul 530 pagi potong bengkang roti untuk bekal anak ke sekolah.

Ikan Bilis

Sambal Tumis Ikan Bilis

Monday, March 13, 2017


Sambal Tumis Ikan Bilis

Orang kata memasak adalah eksperimen. Memang betul. Selain dari kek dan biskut, tiada sukatan tertentu untuk masak jenis campak-campak ni. Belasah jer. Yang penting cuba. Semakin kerap kita masak, kita akan menjadi semakin mahir menyediakan sesuatu hidangan tersebut. Sekurang-kurangnya kita rasa cukup mahir untuk meyediakannya bagi santapan keluarga.

Dulu saya memang tak pandai buat sambal. Kalau buat pun mesti cair. Terlalu banyak air dan kedekut cili kisar. Letak sikit jer cili kisar. Mana cukup kan? Lepas tu saya suka letak sos cili dalam sambal. Memang kena kritik la dengan encik suami. Saya belajar dari emak, dari kawan-kawan yang mahir, dan yang berniaga nasi lemak. Cuba punya cuba, alhamdulillah sambal saya yang dulu sering dikritik encik suami, kini mendapat pujian pula. Hihi....yang penting keluarga kita suka. Itu sudah cukup. Eh, jomlah tengok cara saya buat sambal tumis ikan bilis ni. Senang dan mudah jer.


Sambal Tumis Ikan Bilis


Bahan:

1 mangkuk ikan bilis -saya beli yang dah siap kopek 😀
1 biji bawang besar -dihiris
3 ulas bawang putih -dihiris
1 biji bawang besar -dipotong bulat
1 mangkuk cili kisar -semak resepi cili kisar cara saya
1 sdt pes asam jawa extra
2 sdb gula -boleh tambah atau kurang ikut citarasa
Secubit garam
1/2 cawan minyak masak -ikut kesesuaian
Air

Ikan bilis goreng, ikan bilis tumbuk, bawang besar bulat, bawang besar dan bawang putih.
Cili kisar dan asam jawa.


Cara:

1. Bilas ikan bilis dan toskan. Panaskan miyak dalam kuali. Bahagikan ikan bilis kepada 2 bahagian. Separuh ditumbuk separa lumat, separuh lagi digoreng garing. Ketepikan.
2. Gunakan minyak menggoreng ikan bilis tadi. Tumis bawang besar dan bawang putih sehingga layu.
3. Masukkan cili kisar dan tumis hingga terbit minyak.
4. Masukkan pes asam jawa dan sedikit air. Agak-agak jer air sebab taknak jadi sambal cair. Kacau sebati hingga mendidih.
5. Masukkan ikan bilis yang ditumbuk. Kacau sebentar.
6. Masukkan bawang besar yang dipotong bulat dan ikan bilis yang digoreng tadi. Gaul sebati hingga bawang sedikit layu.
7. Perisakan dengan gula dan garam. Sambal sedap kalau masam-masam manis. Kalau semua dah ok, kira siap dah la.

Boleh la makan dengan nasi lemak atau gulung dalam paratha atau cicah jer dengan roti putih.

Dalam kuali lagi.

Like us on Facebook

Flickr Images