Kuih-muih

Seri Muka Gula Merah

Tuesday, October 31, 2017

Seri Muka Gula Merah
Ni memang antara favourite Malay traditional cakes mommy. Cake tu...kuih la kot. Kalau buat sendiri, seriously mommy boleh habiskan sepelengat tu sorang-sorang tau. Tapi mommy terpaksa control sebab takut gedempol. Hahahaha...

Arman suka jugak, tapi dia makan yang manis jer. Pulut taknak. Ilan sepatutnya suka kuih seri muka ni tapi kebelakangan ni macam tak berapa makan. Kenapa? Tak sedap? Nak yang warna hijau? Next post mommy try yang hijau pulak yer. Dulu-dulu ada buat tapi gambar entah hilang ke mana. Huhuhuhu

Kuih seri muka ni perlu dikukus. Kalau kome takde pengukus, pegi la beli satu yer. Tengok tinggi loyang pengukusnya, lebarnya tu. Sesuaikan dengan loyang yang kome ada yer. Elok kalau beli pengukus yang besar. Loyang pun elok la ada yang bulat. Boleh guna untuk kukus, boleh juga guna untuk buat kek.

Resepi ni mommy ambil dari Blog Resepi Bonda. Alhamdulillah kuihnya menjadi dan sedap. Bila mommy bagi kat Aunty Yana jiran kita tu sikit, dia pun suka. Sedap katanya. Sukatan bawah ni boleh dapat dua loyang saiz sederhana sebab mommy guna cawan metrik. Kalau kome nak sikit, buat separuh adunan sudah. Mommy suka buat banyak. Boleh bagi jiran. Lagipun kita ramai dan kuat makan. Hahahaha

Ni tak sabar nak makan. Tak sejuk lagi dah potong. Tak kemas kan?


Seri Muka Gula Merah

Rujukan : Blog Resepi Bonda


Bahan-bahan lapisan bawah :

2 cawan beras pulut
2 cawan santan cair (mommy guna 1 cawan santan pekat + 1 cawan air masak)
1 sdt garam halus
2 sdt minyak masak (mommy tambah supaya pulut tak lekat pada loyang)


Bahan-bahan lapisan atas :

2½ cawan santan pekat
½ cawan gula merah
½ cawan gula pasir
½ cawan air
½ cawan tepung gandum
1 cawan tepung beras
1 biji telur
½ sdt garam halus


Cara-cara :

1. Basuh beras pulut dan rendam selama 2-3 jam.
2. Setelah cukup masa, toskan beras pulut. Dalam masa yang sama, panaskan pengukus.
3. Masukkan beras pulut dan kesemua bahan untuk lapisan bawah yang lain ke dalam loyang. Gaul sebati kesemuanya.
4. Kukus beras pulut selama 30 minit.
5. Sementara pulut dikukus, sediakan bahan untuk lapisan atas.
6. Dalam periuk, masak gula merah dan gula pasir bersama air hingga larut.
7. Dalam bekas lain, campurkan kesemua bahan lapisan atas yang lain.
8. Kemudian, tapiskan air gula yang telah siap dimasak ke dalam campuran tadi. Masukkan juga santan dan kacau sebati semuanya. Tuang semula adunan ke dalam periuk.
9. Masak sebentar adunan atas api sederhana kecil hingga suam-suam kuku. Kena kacau yer kalau tak nanti adunan ni keras kat bahagian dasar periuk. Kalau naik wap tu kira ok dah tu.
10. Setelah 30 minit, jenguklah pulut kita dalam pengukus tu. Angkat keluar sekejap dan mampatkan pulut tadi dalam loyang yang sama.
11. Setelah mampat, letak semula loyang ke dalam pengukus. Kemudian barulah tuangkan adunan tepung tadi ke atas lapisan pulut.
12. Kukus lagi selama 30 minit. Boleh buka penutup kukus 10 minit terakhir untuk dapatkan permukaan yang cantik berseri.
13. Setelah dikukus, keluarkan dari loyang dan sejukkan pada suhu bilik. Tunggu lapisan atas tu kering jugak yer.
14. Dah sejuk sepenuhnya boleh la mula potong. Guna pisau plastik kalau nak dapat potongan yang cantik yer.

Kukus dua loyang sekaligus.
Tunggu permukaan kering dulu macam ni yer.
Permukaan kering tapi belum sejuk. Pastu tak guna pisau plastik. Comot sikit.
Sedia untuk dimakan!!!!!! Puas hati sangat!

Kalau nak makan untuk sarapan, seeloknya disediakan malam sebelumnya. Kalau nak makan petang, buatlah kuih seri muka ni di pagi hari. Ok?

Kudapan

Jemput-jemput Pisang Atau Cekodok Pisang

Saturday, October 28, 2017

Jemput-jemput Pisang atau Cekodok Pisang


Cekodok pisang atau bahasa indahnya adalah jemput-jemput pisang memang all time favourite kan! Sesuai untuk sarapan atau minum petang. Tapi kita belasah jer bila-bila pun. Sebab mommy memang takde fixed dish untuk kita makan anak-beranak. Apa ada kita makan dan perabeh. Hahaha

Pisang apa yang sesuai untuk buat cekodok? Tentulah pisang yang ranum, kuning isinya. Haaa...jenis pisang pula macam pisang awak, pisang abu, pisang raja dan pisang nangka. Pisang yang kita selalu beli untuk makan tu pun boleh, macam pisang berangan, pisang montel dan pisang emas. Kalau tak kenal jenis-jenis pisang ni, kome tanya jer Encik Google. Tak pun tanya jer orang kedai tu. Mommy pun tak kenal sangat pisang. Tau makan jer. Hihihihi...

Okeh, kali ni memang mommy beli pisang khas untuk buat cekodok. Mommy beli pisang yang paling buruk kulitnya yang ada kat kedai Acheh tu. Tapi, walaupun kulitnya dah hitam, isinya masih cantik lagi. Takde hitam atau isi lembik atau berair langsung. Tak sempat pula mommy nak snap gambar. Sebab handphone mommy selalu kena hijack dengan kome. Soffiya la selalunya.

Soda bikarbonat yang buat sarang tu. Tepung beras pula buat tanduk-tanduk rangup tu yer.


Peminat tegar cokodok ni sebenarnya Arman. Dia selalu minta, tapi mommy jarang sangat buat. Dia sangat susah nak disuruh makan. Sebab tu bila dia kata nak makan, mommy sebolehnya cuba tunaikan apa dia minta. Slowly mommy ajar dia makan macam-macam makanan supaya bila besar nanti tak susah nak cari makan. Biar badan dapat khasiat yang sepatutnya. Makan roti jer mana nak dapat khasiatnya.

Ish...panjang cerita lain pulak. Nak pesan ni, cekodok tu jangan keras, tapi jangan lembik pula. Kena kenyal-kenyal sikit baru sedap. Lembut sangat pun tak boleh nanti berminyak sangat pulak. So, agak-agak la bahan-bahannya. Mommy pun tak pernah sukat betul-betul pulak. Sebab cekodok ni bukan kek. Kalau kek pisang lain la. Sebolehnya kena ikut sukatan kek jugak yer.


Jemput-jemput Pisang Atau Cekodok Pisang


Bahan-bahan :

2 cawan pisang -dilenyek (pilih yang ranum tetapi jangan pisang yang dah berair!!)
2 cawan tepung gandum
1 cawan tepung beras
1 sdt soda bikarbonat
1 sdt garam halus
4 sdb gula
Minyak untuk menggoreng

Mommy suka tekstur macam ni. Tak padan sangat. Lembut dan tidak keras.


Cara-cara :

1. Buang kulit pisang dan dalam bekas besar, lenyek isi pisang hingga hancur.
2. Masukkan tepung gandum, tepung beras dan soda bikarbonat. Gaul sebati.
3. Jika adunan agak lembik, tambah lagi tepung gandum dan tepung beras sedikit demi sedikit hingga mendapat adunan yang sempurna.
4. Masukkan pula gula mengikut citarasa. Jangan manis sangat, nanti hilang rasa pisang.
5. Masukkan sedikit garam halus dan kacau sebati. Rehatkan sebentar adunan yer.
6. Sementara itu, panaskan minyak yang banyak dalam kuali.
7. Jemputkan adunan tadi dengan jemari tangan atau gunakan sudu. Mommy guna 1 sudu untuk cedok, dan 1 lagi sudu untuk tolak adunan ke dalam minyak. Saiz sederhana jer yer.
8. Pastikan api tidak terlalu besar. Balik-balikkan adunan hingga warnanya menjadi coklat gelap.
9. Angkat dan toskan. Dah siap dah cekodok pisang. Yeay!

Nyum...nyum...sedap dimakan ketika suam-suam gitewww...
Warna cekodok kena gelap, baru sedap! Jangan sampai rentung sudah la....

Kudapan

Cucur Jagung Special

Thursday, October 26, 2017

Cucur Jagung Special

Boleh kata semua dalam Whatsapp Group sekolah menengah mommy adalah ibu bekerja. Cuma mommy dan sorang lagi jer work at home mother. Jadi, bila weekends mereka yang bekerja ni lebih rajin masuk dapur berbanding mommy. Hahahaha....weekends mommy cuti maa... Gantung periuk kuali la konon. Kadang-kadang jer masak. Tu pun kalau rajin. Selalunya beli nasi lemak daun pisang masa keluar hantar Arman ke reading class.

Okeh, weekends hari tu ntah bila lupa tarikh, macam biasa kita dalam group akan share apa kita masak, apa kita makan, pergi mana, masalah pun kita share sama-sama. Syamsiah share menu pagi dia...cucur udang. Eh, yer ker...lupa la sapa. Tapi berikutnya Fiza Fish share menu cucur jagung dia. Terliur plak nengoknya. Nak buat jam itu, jagung pun takde. So kita hold dulu.

Malam tu kita pergi pasar malam beli dinner. Sebab mommy cuti masak dan kita tak outing ke mana-mana pun. Nampak jer jagung, mommy pun beli 3 tongkol. Memang bajet nak buat cucur jer pun. So, korek la resepi dari buku Chef Hanieliza. Dalam ni mommy bagi sukatan ikut resepi chef. Tapi yang sebenornya, mommy tak ikut sukatan tu pun dan ada tambah bahan. Semua main agak-agak jer. Ikut sedap jari. Hahaha...

Nikmatnya makan cucur jagung ni masa suam-suam panas.

Cucur Jagung Special

Rujukan : Buku '1 Hari 1 Resepi Chef Hanieliza'


Bahan-bahan :

3 tongkol jagung
1 labu bawang besar -dicincang
3 biji cili merah -dicincang
200 gram udang basah (mommy pakai yang saiz kecil, dibuang kulit)
1 biji telur (mommy letak 2 biji)
Sedikit daun kucai -dipotong pendek-pendek
2 cawan tepung gandum (mommy lebihkan sukatan)
¼ cawan tepung beras (mommy tambah untuk rangupkan cucur jagung)
2 sdb susu pekat manis (mommy tambah untuk rasa lemak manis)
2 sdb gula (mommy tambah untuk variasi rasa pada cucur jagung)
1 sdt soda bikarbonat
1 cawan air suam (mommy agak-agak jer)
1 sudu teh serbuk kunyit
Garam secukup rasa
Minyak untuk menggoreng

Bahagian dalam bersang dan luarnya rangup!

Cara-cara :

1. Kikir isi jagung daripada tongkolnya.
2. Kecuali minyak, gaulkan kesemua bahan dalam bekas besar hingga sebati.
3. Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali.
4. Apabila minyak sudah panas, laraskan kepada api sederhana.
5. Kaut adunan dengan sudu dan sudukan ke dalam miyak.
6. Goreng hingga kuning keemasan.
7. Angkat dan toskan minyak dengan tisu dapur.
8. Hidangkan dengan sos cili, sos Thai atau sos tomato.

Sedap juga dihidang dengan kuah sambal kacang.

Campur kesemua bahan dan kacau sebati. Tengok jagung, cili merah, isi udang, telur dan tepung tu. Huish....!!!

Macam ni la adunan sebelum kita start goreng.
Tadaaa....tak sabar nak ngap!

Kudapan

Sukun Goreng

Wednesday, October 25, 2017

Sukun Goreng

Sukun. Jarang sangat kita makan buah ni. Kalau ada jumpa pun selalunya kat gerai pisang goreng. Tapi kita tak beli pun. Hehehe... Kali ni sebab opah bawak. Pun sebab kawan tok bagi. Kat rumah Ipoh mana ada orang nak makan. Jadi opah bawak datang rumah kita. Tapi masa opah dan tok datang tu pun masing-masing busy dengan jadual masing-masing. So, tergolek jer la buah sukun tu kat dapur.

Bila opah dan tok dah balik Ipoh, baru mommy ada peluang goreng sukun tu. Tu pun dah agak masak buahnya. Jadi agak susah nak potong sebab dah lembut sikit. Tapi, bila goreng tu rasa sedap jer makan. Manis dan rasa macam keledek! Korang pun suka makan. Accept Arman la kan. Memang memilih bebenor.

Okay, dalam resepi ni, semua bahan main agak-agak jer. Mommy memang takde sukatan tepat. Yang penting tepung salut untuk goreng tu pekat melekat yer. Kalau cair, memang tak best la makan.

Lapik dengan tisu dapur untuk serap minyak berlebihan.


Sukun Goreng


Bahan-bahan :

Sukun -dipotong nipis
Tepung beras
Secubit garam halus
Sedikit serbuk kunyit -untuk sedikit warna
Air
Minyak untuk menggoreng


Cara-cara :

1. Kupas kulit sukun dan potong sukun nipis-nipis. Ketepikan.
2. Panaskan minyak yang banyak dalam kuali.
3. Dalam mangkuk, campurkan tepung beras, serbuk kunyit dan garam halus. Tuang air sedikit demi sedikit hingga dapat kepekatan adunan yang sesuai.
4. Gaulkan sukun dengan adunan tepung beras tadi hingga semua sukun disaluti tepung.
5. Setelah minyak panas, laraskan kepada api sederhana.
6. Masukkan sukun sekeping demi sekeping ke dalam kuali. Balikkan dan goreng hingga kekuningan.

7. Angkat dan sedia dihidangkan.


Ni sukun yang dah dibelah dua. Konon2 nak simpan separuh. Hurrm..tak sempat. Habis sebijik sekali hadap.

Pastikan adunan pekat macam ni yer. Dan menyaluti sukun sepenuhnya sebelum menggoreng.

Goreng hingga kekuningan.
Untuk lebih menyelerakan, cicah sukun goreng dengan gula merah.

Kuih-muih

Tepung Talam Gula Merah

Thursday, October 19, 2017

Kuih Talam Gula Merah


Yes yes yes!!! Akhirnya tercapai hasrat mommy nak buat kuih tepung talam ni. Dah lama teringin tapi tak jumpa pulak orang jual kat sini. Mungkin ada la tapi tak muncul plak diorg. Takpe, tu tak penting pun. At least lepas ni kita ada menu lain untuk bawak pergi kenduri rumah jiran kan!

Okeh, mommy tau Arman & Ilan memang suka kuih ni. Tak la suka sangat tapi boleh makan la. Tak menolak. Daddy pun suka. Ulin? Macam tak suka sangat kan? Hahahaha... As usual mommy ambil resepi dari buku 1 Hari 1 Resepi oleh Chef Hanieliza. Resepi dalam tu semua simple & insyaallah senang.

Nampak jer comot, tapi sedap tau!!!

Kuih Talam Gula Merah

Rujukan : Buku 'Resepi Istimewa Chef Hanieliza'


Bahan-bahan :

Lapisan bawah (gula merah)

1 cawan gula merah
1/2 cawan gula pasir -kurangkan jika tak suka manis sangat
5 cawan air
2 cawan tepung gandum
2 sdb tepung ubi
2 helai daun pandan (disimpul)
1/2 sdt garam (mommy guna garam halus)


Lapisan atas (tepung beras)

3 cawan santan pekat -dari 1/2 biji kelapa (mommy pakai santan kotak jer)
1 cawan tepung beras
1 sdt garam (mommy guna garam halus)



Cara-cara :


Lapisan bawah (gula merah) :

1. Masak gula merah, gula pasir, air & daun pandan sehingga mendidih. Kemudian tapis air gula tersebut dan sejukkan dahulu.
2. Panaskan periuk kukus & sapu sedikit minyak masak pada loyang. Sikit jer yer.
3. Setelah air gula sejuk, campurkan semua bahan lapisan bawah & kacau sebati. Kemudian tapiskan adunan gula merah ke dalam periuk non-stick dan masak seketika hingga sedikit pekat.
4. Tuang adunan gula merah ke dalam loyang yang telah disapu minyak tadi dan kukus selama 20 minit.
5. Selepas 20 minit, pastikan permukaan kuih tidak berair. Jika berair, sejukkan sebentar sehingga air tersejat atau keringkan dengan tisu dapur.
6. Kemudian cakar-cakar permukaan lapisan gula merah dengan menggunakan garpu.


Lapisan atas (tepung beras) :

1. Sebatikan semua bahan lapisan atas dan tapiskan. Kemudian masak sebentar adunan tepung beras dengan api kecil sehingga naik wap sahaja.
2. Tuang perlahan-lahan adunan tepung ke atas lapisan gula merah yang telah dicakar dengan garpu tadi.
3. Kukus selama 20 minit atau sehingga masak.
4. Sejukkan terlebih dahulu sebelum dipotong dan dihidangkan.

Tak sabar nak makan, potong sebelum betul2 sejuk. Comot jadinya.


Jika dimasak pagi, seeloknya dipotong & dihidangkan pada waktu petang.
Jika dimasak malam, sesuai dipotong & dihidangkan esok paginya.

Kuih-muih

Bengkang Labu

Wednesday, April 26, 2017


Bengkang Labu


Dulu masa ada oven kecil, Mommy akan bakar bengkang labu dalam oven. Tapi bila dah beli pemanggang ajaib, Mommy lebih suka guna pemanggang. Mungkin pada Mommy guna pemanggang tu senang. Padahal guna oven lagi senang kot. Set suhu, set timer, bako jer kan. Tak payah nak jenguk-jenguk sangat. Tapi kalau guna pemanggang ajaib, kena tunggu jugak sebab nak terbalikkan pemanggang atau nak jaga api.

Ok tak kisah cara mana pun yang anak-anak Mommy guna, yang anak-anak Mommy selesa, yang penting bengkangnya menjadi. Kali ini Mommy post entry untuk buat bengkang labu dengan cara bakar menggunakan oven. Tapi kena ingat, suhu bakar berbeza-beza bagi setiap oven yer.

Jemput makan semua...


Bengkang Labu


1/2 biji labu saiz kecil -direbus, dilenyek, diambil 2 cawan darinya
1/2 cwn gula
1/2 cwn tepung beras
1 1/2 cwn tepung gandum
1 cwn santan pekat (dalam 200ml)
1 cwn air masak
1/2 cwn susu segar/susu cair
2 biji telur -dikocak
1 sdt garam halus
1 sdt esen vanila


Cara :

1. Rebus labu dalam periuk. Pastikan sentiasa dipantau proses merebus supaya labu tidak terlalu lembik. Jika labu sudah boleh dicucuk dengan garpu, bolehlah ditos dan terus dilenyek dalam mangkuk besar/besen.
2. Campurkan bahan-bahan yang lain bersama labu yang telah dilenyek tadi dan gaul sebati. Pastikan adunan tidak berketul. Boleh guna mixer kalau tak larat nak kacau guna tangan yer.
3. Panaskan oven selama 15 minit. Sapu/spray mentega/minyak ke seluruh permukaan loyang. Tuang adunan tadi ke dalam loyang bulat atau loyang segi empat berukuran 8"x8".
4. Bakar pada suhu 140 C selama 40 minit atau sehingga masak.
5. Setelah cukup waktu membakar, cucuk bahagian tengah bengkang guna cake tester atau guna lidi. Tarik lidi keluar. Jika lidi bersih, maknanya bengkang telah cukup masak. Jika masih ada adunan yang melekat, itu bermakna bengkang belum masak sepenuhnya. Boleh tambah waktu bakar lagi 10-15 minit.
6. Setelah masak, biarkan sebentar dalam oven. Setelah sejuk, bolehlah dipotong dan dihidangkan.

Sedap dimakan ketika bersarapan mahupun minum petang.


Selalu tak tunggu sejuk, suam-suam tu dah potong dan ngapp!!!

Kuih-muih

Bengkang Labu Mudah Dengan Pemanggang Ajaib

Wednesday, April 19, 2017

Bengkang Labu


Resepi Mommy kali ini adalah bengkang labu. Antara kuih kegemaran semua anak-anak Mommy kan! Ingat tak, kalau Mommy buat jer kuih ni, cepat jer habis. Ilan dan Arman asyik tanya bila boleh makan. Masa tu Mommy letak atas meja, nak sejukkan dulu sebelum makan.

Tapi kita memang tak boleh tunggu lama. Letih dengar korang asyik tanya, Mommy potong je lah. Time suam-suam tu la sedap makan. Sampai Mommy kena simpan untuk Daddy siap-siap. Kalau tak, habis semua korang telan. Bestkan rebut-rebut makan. Hihihi

Selalunya Mommy buat bengkang ni bila kita ada lebihan labu yang agak lama terperam dalam peti sejuk. Agak-agak macam slow jer nak habis, terus Mommy buat bengkang. Confirm cepat clear peti sejuk Mommy. Korang pun buat la macam tu yer. Supaya tiada pembaziran.

Yang ni Mommy bakar dengan pemanggang ajaib. Version oven, Mommy tak update lagi. Nanti dah masukkan entry versi oven, Mommy akan buat link.


Bengkang Labu


1/2 biji labu saiz kecil -direbus, dilenyek, diambil 2 cawan darinya
1/2 cawan gula
1/2 cawan tepung beras
1 1/2 cawan tepung gandum
1 cwn santan pekat (dalam 200ml)
1 cawan air masak
1/2 cawan susu segar/cair
2 biji telur -dikocak
1 sdt garam halus
1 sdt esen vanila


Cara:

1. Rebus labu dalam periuk. Pastikan sentiasa dipantau proses merebus supaya labu tidak terlalu lembek. Jika labu sudah boleh dicucuk dengan garpu, bolehlah ditos dan terus dilenyek dalam mangkuk besar/besen.
2. Campurkan bahan-bahan yang lain bersama labu yang telah dilenyek tadi dan gaul sebati. Pastikan adunan tidak berketul. Boleh guna mixer kalau tak larat nak kacau guna tangan yer.
3. Panaskan pemanggang. Setelah pemanggang panas, kecilkan api.
4. Tuang adunan ke atas pemanggang dan tutup.
5. Biar bahagian bawah masak dahulu. Kemudian terbalikkan pemanggang dan masak yang sebelah lagi.
6. Sejukkan sebelum dipotong dan dinikmati bersama keluarga. Tapi kalau tak sabar jugak, masa suam-suam tu, potong dan makan saja lah....

Jangan risau tuang kesemua adunan ke ataas pemanggang kerana sukatannya ngam-ngam saja. Ajaib, kan pemanggang ajaib ni??? Hihihihi

Jagung

Bengkang Jagung Resepi Opah

Friday, March 31, 2017

Bengkang Jagung @ Bingka Jagung


Bengkang jagung, sesetengah orang panggil bingka jagung. Kedua-duanya sama jer. Bengkang jagung ni resepi opah. Opah buat masa kita balik Ipoh cuti seminggu hari tu. Masa tu nenek (emak kepada tok) ada di Ipoh. Nenek tak sihat dan opah tolong jaga. Jadi opah buat bengkang jagung ni untuk dijamu kepada tetamu yang datang menziarah nenek. Mommy pinjam gambar jer. Nanti Mommy dah buat, Mommy upload gambar bengkang jagung Mommy pulak yer. 

Mommy memang suka makan bengkang jagung ni. Tapi, suka makan tak bermakna kita kena buat selalu kan! Ekekekekekeke....Ulin Ilan Arman malah Soffiya pun suka makan bengkang ni tau. Nanti la bila-bila Mommy buat yer. Jom Mommy share resepi yang Mommy minta daripada opah ni.

Makan bengkang ni macam tak boleh berhenti selagi tak habis!!!


Bengkang Jagung

Kredit : Puan Rosnani



5 tongkol jagung tua -dihiris isinya sahaja
1 cawan tepung gandum
1 cawan tepung beras
1 cawan gula
2 biji telur
1 kotak kecil santan (200ml)
1 sdt garam halus
1 sdt air kapur


Cara:

1. Kisar semua bahan-bahan menggunakan pengisar. Jangan guna yang korang blender cili. Mesti kena ada 1 lagi blender lain untuk buah atau buat kuih.
2. Sapu atau spray loyang (8" x 8") dan tuang adunan yang telah dikisar ke dalam loyang tersebut.
3. Panaskan oven selama 15 minit. Kemudian bakar adunan dengan suhu 140 C selama 45 minit atau sehingga masak.
4. Macam biasa, cucuk dengan lidi untuk tahu dah masak atau belum. Jika lidi yang ditarik keluar tu licin, maknanya bengkang dah masak. Jika masih basah, perlu dibakar lagi. Tambah masa jika perlu.
5. Sejukkan sebelum dipotong dan dimakan. Seeloknya bakar malam dan makan pada pagi esoknya.

Bengkang jagung resepi opah.


Sedapnya bengkang jagung...adusss!!

Kuih-muih

Si Nona Manis Yang Viral

Thursday, March 16, 2017

Kuih Nona Manis

Akhirnya... Cik Nona Manis unlocked! Lama simpan hajat nak me'nona manis'. Tapi asyik tak kesampaian. Semalam, berbekalkan santan yang masih berbaki lebih 500ml, jadi jugak kuih yang viral ni. Tapi dek kerana tak pernah buat kuih ni, sibuk nak sukat bahan, jam itu jugak nak shooting gambar untuk blog, ditambah takde pembantu dan dalam masa yang sama kena jeling jugak anak-anak tu kan. Agak meletihkan. Almaklum...amatur ler katakan. Hadeih...

Dimulakan dengan menyukat bahan-bahan, lepas tu susun bahan, ambil gambar pulak, ubah posisi, ambil gambar lagi. Cahaya pulak tak cantik, nampak bayang-bayang lah, angle tak cantik la. Aduhai...letih. Hasilnya macam gambar yang ada tu la. Ate, kita bukan ambil jurusan fotografi. Belasah jer la labu. Yang penting resepinya tu menjadi. So, apa tunggu lagi? Jangan biarkan acuan lompang tu tertonggeng jer dalam almari dapur!


Puas hati makan macam ni. Tengok yang putih tu lembik-lembik...sedap uiii !!!

Eh, jap. Dalam resepi ini, air pandannya disediakan dengan cara mengisar daun pandan itu sendiri. Tapi saya pula hanya gunakan esen pandan sebabnya tiada daun pandan di rumah saya. Boleh jer. Baunya tetap wangi. Yang penting, pandan yer. Satu lagi, kalau nak mudah sikit, bahan A dan bahan B tu tak payah asingkan. Sekalikan jer sukatannya. Err...faham tak agak-agaknya?


Kuih Nona Manis
(Untuk adunan ini, saya dapat 30 biji kuih Nona Manis)

Rujukan : Azlita Masam Manis


Bahan A:

1 biji telur
1 cawan tepung gandum
1/2 cawan gula halus
1 cawan santan pekat (saya guna 1 kotak kecil santan + air,dan dijadikan 1 cawan)


Bahan A

Bahan B:

1/2 cawan santan pekat
1/2 cawan air pandan (saya guna air biasa jer)
1 sdt esen pandan
1/4 cawan gula halus
1/4 cawan tepung jagung
1/2 sdt garam halus
1/2 sdt pewarna hijau (warna ikut kesukaan masing-masing)


Bahan B

Bahan C:

1 cawan santan pekat (saya guna 1 kotak kecil santan + air, dan dijadikan 1 cawan)
1 sdb tepung gandum
1 sdb gula pasir
1/2 sudu teh garam halus

Bahan C


Cara:

1. Bahan A; pukul telur hingga kembang. Tapi saya kisar guna blender jer. Masukkan pula bahan-bahan A yang lain dan kisar bersama dengan telur. Ketepikan adunan A.
2. Bahan B; satukan gula, tepung jagung dan garam. Kemudian masukkan santan dan air. Kacau sebati supaya tidak berbintil-bintil dan titiskan pewarna hijau. Sebatikan adunan B.
3. Kemudian masak dengan api sederhana dan sentiasa kacau adunan B. Adunan B akan meletup-letup dan menjadi pekat. Tutup api dan biarkan sehingga suam-suam kuku.
4. Satukan adunan A dan adunan B. Kacau rata dan kisar supaya adunan hijau ini lebih sebati. [A+B=adunan hijau]
5. Bahan C; satukan kesemua bahan dan kacau sebati. Masak atas api sederhana sambil sentiasa dikacau hingga adunan putih ini pekat. [C=adunan putih]
6. Panaskan periuk pengukus hingga airnya mendidih. Balut penutup periuk pengukus dengan kain bersih supaya airnya tidak menitis pada kuih. Saya tak balut pun. Pandai-pandai ler nak elak menitis tu. Hehe...
7. Masukkan adunan putih ke dalam piping bag atau beg plastik di bahagian bucu. Gunting sedikit bahagian bucu plastik tersebut.
8. Sediakan acuan lompang dan oleskan minyak pada acuan tersebut. 
9. Tuangkan adunan hijau ke dalam acuan lompang sehingga 3/4 penuh. Kemudian picit adunan putih di tengah-tengah adunan hijau sehingga naik memenuhi acuan lompang.
10. Kukus selama 7-10 minit. Kemudian angkat dan sejukkan dahulu sebelum dikeluarkan dari acuan.


Adunan hijau dituang sehingga 3/4 penuh acuan.

Adunan putih dipicit di tengah-tengah adunan hijau.

Nona Manis sudah sedia untuk dinikmati. Yummeh!!!
Selain hijau, menarik juga jika diwarnakan pink, ungu atau oren. Kan???

Like us on Facebook

Flickr Images