Ikan

Gulai Lemak Cili Api Ikan Jenahak

Saturday, February 25, 2017

Gulai Lemak Cili Api Ikan Jenahak

"You jangan goreng pulak ikan ni tau," pesan encik suami. Hihihi...yelah yelah.... Kepala ikan jenahak dibelinya, kena ler masak yang special sikit. Bukan selalu dapat makan ikan. Saya pulak kalo dpt makan ikan goreng tu ler yang nikmat. Cicah dengan kicap dan bawang. Huih...tu jer cukup jadi lauk saya.

Beli kepala ikan tu pun konon nak test skill masak saya jugak. Kalau saya boleh masak sedap, next time ada rezeki lebih, boleh makan ikan jenahak lagi. Saya pun berdebar jugak sebenarnya nak masak gulai lemak cili api ni. Memang favourite dia tu. Risau tak sedap, terpedas, kurang lemak ker apa kan. Kang terkeciwa pulak. Kita pun serba salah. Eh, dah la. Jom la tengok resepi cara saya. Cara saya memasak, mungkin tak sama dengan orang N9. Yang penting encik suami puas hati sangat.

Gulai Lemak Cili Api Ikan Jenahak

Bahan:
3 ketul ikan jenahak (ikan lain pun boleh jer)
5 biji cili padi -tambah jika suka pedas
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
2 inci kunyit hidup
1 keping asam gelugur/asam keping
2 batang serai -dititik/tumbuk sedikit
1 ketul kiub ikan bilis
200ml santan (saya pakai santan kotak)
2 cwn air (ikut nak banyak kuah ker tidak yer)
2 biji tomato -dipotong 4
Garam secukup rasa


Cara:
1. Tumbuk hingga lumat cili padi, bawang besar, bawang putih dan kunyit hidup.
2. Masukkan air ke dalam periuk. Masukkan juga bahan tumbuk, serai dan asam keping. Biarkan mendidih.
3. Masukkan ikan dan pati ikan bilis. Biar ikan dan kuah mendidih dalam 5-7 minit. Agak-agak jer la tengok pada ikan tu dah masak ke belum kan.
4. Kecilkan sedikit api, tuangkan santan pula. Sambil tu jirus la ikan dengan kuah santan tu. Jangan dibalik-balikkan ikan tu. Pecah dia nanti. Kalau rasa kuah tak cukup kuning, tambah jer sikit serbuk kunyit. Pucat sangat tak cantik jugak kan.
5. Sambil tu masukkan garam. Kiub ikan bilis tu pun dah masin, jadi tak perlu banyak garam yer. Rasa la 2-3 kali. Kalau dah cukup rasa, tak perlu tambah apa-apa dah.
6. Masukkan tomato, biar kuah mendidih sikit. Dan boleh tutup api.

Bertambah-tambah la nasi dia. Lulus! Hihihi

Muffin

Muffin Pisang Dengan Cip Coklat Sedap Dan Mudah

Friday, February 24, 2017

Muffin Pisang Dengan Cip Coklat

Anak sulong saya akan mengikuti kem kepimpinan di sekolahnya hujung minggu ni. Dia akan tidur 1 malam di sekolah. Mak saya pesan, bekalkan sedikit snek untuk anak saya makan. Kalau malam-malam dia lapar, ada la makanan kan. Mula-mula saya fikir nak beli jer. Tapi untuk apa beli kalau kita boleh sediakan sendiri. Betul tak? Lagipun saya ada blog masakan untuk ditulis. Jadi, sambil menyelam tu kita minum air sekali lah.


Umpama sedang berhimpit-himpit dalam LRT. Huhuhuhu

Baiklah....resepi muffin pisang yang super sedap ni saya ambil dari laman facebook GROUP MASAKAN MSK HOME BAKERY. Ia milik guru kelas meroti saya Puan Roszana Ismail. Saya merupakan salah seorang daripada beribu pelajar pengajian jarak jauh (pjj) beliau. Saya ambil (i)kelas basic meroti dan (ii)kelas savoury. Ada (iii)kelas pizza dan (iv)kelas sandwich juga. Tapi yang tu saya belum mendaftar lagi. Hihi...Kalau berminat nak join mana-mana kelas secara pjj yang saya sebut dia atas, boleh search namRoszana Ismail kat Facebook yer. Yuran murah dan sangat berbaloi. Ok, jom tengok resepi cikgu saya ni.

Muffin Pisang Dengan Cip Coklat

Sumber: Puan Roszana Ismail (FB)

Bahan:
1 1/2 cwn tepung gandum -diayak
1/3 cwn butter -dicairkan
1/2 cwn gula castor
4 biji pisang emas
1 biji telur
1 sdt soda bikarbonat -diayak
1 sdt baking powder -diayak
2 sdb cip coklat -boleh tambah jika suka
2 sdb coklat urai -saya tambah sebab nak perabih stok
Secubit garam halus -saya tambah


Hot from the oven. Time ni ler sedap makan muffin tu tau tak.


Cara:
1. Satukan tepung gandum, soda bikarbonat dan baking powder. Ketepikan.
2. Cairkan butter. (Saya cairkan guna microwave dalam 3-4 minit).
3. Lenyek pisang. Masukkan gula castor dan telur. Gaul rata guna spatula.
4. Masukkan butter cair dan gaul sebati.
5. Kemudian masukkan bahan yang telah diayak tadi ke dalam adunan pisang. Gaul sebati.
6. Kemudian masukkan cip coklat dan gaul lagi.
7. Gris dengan butter bahagian dalam cawan muffin terlebih dahulu. Kemudian barulah isikan adunan muffin tadi ke dalamnya sebanyak 3/4 penuh. (Saya guna butter spray. Ada juga yang saya tak spray. 😀).
8. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan dahulu. Bakar suhu 180 C selama anggaran 25 minit api atas bawah. (Saya guna built-in oven dengan suhu 140 C selama 25 minit api atas bawah).

Saya buat 3 adunan! Dinasihatkan guna mixer kalau buat banyak macam saya. Risau kacau tak rata lak nanti kan.

Kuih-muih

Apam Polkadot Comel

Thursday, February 23, 2017


Apam Polkadot Comel


Apam polkadot comel yang menarik hati ni sangat viral suatu masa dahulu. Masa tu semua pun teruja nak cuba buat apam ni. Termasuklah saya. Haha... Ramai kawan-kawan dok upload apam polkadot diorang kat facebook. Saya pun terikut sama. Untuk amatur macam saya, memang saya cakap prosesnya mudah tapi renyah. Tapi bagi yang obses dengan apam ni, saya pasti apa jua cara pembuatan akan menjadi mudah. Lagi pula yang menjadikan ia sumber pendapatan. Betul tak?

Apa saja makanan yang comel di mata anak-anak, pastinya mereka suka. Bersungguh-sungguh mereka makan apam comel ni. Terubat keletihan bersilat mem'polkadot'kan apam tu. Hihi... Okeh, jom tengok resepi mudah ni yer.

Apam Polkadot Come

Rujukan: ciktom.com

3 biji telur gred A -dari peti sejuk
2 1/2 cwn tepung gandum -diayak
1 cwn gula halus
3/4 cwn susu segar/susu cair
3 sdt baking powder -diayak
1 sdt ovalette -saya tak letak
1 sdt esen vanila
pewarna kegemaran
filling blueberry/strawberry/coklat -saya buat apam kosong tanpa inti



Cara:
1. Masukkan telur, gula dan ovalette ke dalam mangkuk mixer dan pukul dengan kelajuan maksimum sehingga kembang dan menjadi putih.
2. Masukkan susu cair, tepung gandum, baking powder dan esen vanila. Pukul lagi dengan kelajuan minimum hingga sebati.
3.Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian. Kemudian titiskan pewarna pilihan.
4. Masukkan adunan yang telah diwarnakan ke dalam plastik piping. Potong sedikit hujungnya.
5. Pipe adunan ke dalam mangkuk kertas kecil sebanyak separuh penuh sahaja.
6. Letakkan filling secukupnya (guna plastik piping juga). Saya skip step ni sebab saya buat apam kosong (tanpa inti).
7. Pipe lagi adunan sama atau warna berbeza sehingga hampir penuh. Saya terus pipe 3/4 penuh sbb tak letak inti.
8. Kemudian dot-dotkan dengan warna yang kontra pilihan.
9. Panaskan pengukus terlebih dahulu. Apabila air dalam pengukus telah mendidih, bolehlah mula mengukus dengan api kecil/sederhana selama 10-15 minit.
10. Pastikan balut penutup pengukus dengan kain yer. Tujuannya supaya air tak menitik ke atas apam.

Selamat mem'polkadot' !!

Kek

Kek Pelangi @ Rainbow Cake

Monday, February 20, 2017

Teruja weh. First time buat Kek Pelangi @ Rainbow Cake dapat hasil macam ni.

Seriously saya sangat teruja bila pertama kali menghasilkan rainbow cake ni. Habis terer dah saya rasa masa tu. Satu pencapaian untuk saya yang sangat amatur pada ketika itu. Anak-anak paling seronok kerana first time mommy buat kek warna-warni. Kalau tak asyik kek coklat jer. Hahaha...

Sejujurnya pada saya kek ini lebih sedap setelah disimpan semalaman. Texture dan rasanya lebih mesra selepas 24 jam disiapkan. Jadi kalau nak makan esok, eloklah disiapkan hari ini. Tapi kalau nak nampak fresh, buat jer lah pada hari yang sama. You all rasa budak-budak boleh tahan ker tengok kek cantik warna-warni macam ni? Diorang mesti excited nak potong dan makan punya lah!!

Kek Pelangi @ Rainbow Cake

Rujukan: juwitafariz.blogspot.my

Bahan kek:
3 cwn tepung gandum -diayak
4 sdt baking powder -diayak
1/2 sdt garam halus
250 gram butter -suhu bilik
2 cwn gula kastor
5 biji putih telur -suhu bilik
2 sdt esen vanila
1 1/2 cwn susu segar -suhu bilik
Pewarna -merah, oren, kuning, green, biru, ungu

Bahan cream cheese frosting:
250 gram cream cheese -saya guna brand Philadelphia
120 gram gula
120 gram butter
Sedikit perahan lemon -saya tambah

Nampak sangat amatur kan! Hahahah..saya memang amatur pun.

Cara kek:
1. Sediakan loyang 8 inci. Kalau boleh 3 loyang. Sapu loyang dengan butter dan alas dasar loyang dengan baking paper. Sapukan juga butter ke atas baking paper tersebut.
2. Panaskan oven pada suhu 140 C selama 15 minit.
3. Dalam mixer, pukul butter dan gula sampai kembang lagi gebu atau sehingga butter bertukar menjadi putih.
4. Masukkan telur putih dan pukul lagi sampai gebu dan ringan.
5. Masukkan esen vanila.
6. Kemudian laraskan mixer kepada kelajuan paling perlahan, masukkan tepung berselang-seli dengan susu segar. Boleh juga guna spatula untuk kaedah kaup balik. Mulakan dengan tepung dan akhiri dengan tepung juga.

Cara frosting:
1. Pukul semua bahan hingga ringan dan gebu.
2. Sedia untuk digunakan.

Cara mendeko kek:
1. Saya mulakan dengan kek berwarna merah. Sapu sedikit cream cheese di atasnya dan ratakan.
2. Dengan menggunakan pengayak, ayak serbuk coklat di atas lapisan cream cheese tadi. Tak perlu terlalu tebal, nipis sahaja yer.
3. Letak lapisan kek seterusnya dan ulang langkah di atas sehingga lapisan ke-5 sahaja.
4. Letakkan pula lapisan terakhir. Buat satu lapisan cream cheese yang tebal di atasnya dan kemaskan kek dengan menyapu kesemua cream cheese tadi di sekeliling kek. Tidak perlu ayak serbuk coklat.
5. Hias kek mengikut kreativiti dan citarasa masing-masing.

Rasa geram tengok kek orang lain cantik-cantik dan kreatif belaka.

Lauk-pauk

Tauhu Kukus Dengan Sos Udang Kering

Monday, February 20, 2017

Tauhu Kukus Dengan Sos Udang Kering

First time saya makan tauhu kukus ni masa makan tengahari di rumah kakak ipar saya. Ibu mertua beliau yang memperkenalkan hidangan kegemaran keluarga mereka ini. Wow...saya sangat sukakan tauhu dengan sos begitu. Tapi tu la...lama tak buat menu ni tau. Isy...merenjis pula rasa air liur bila tengok balik gambar tauhu kukus ni.

Tauhu Kukus Dengan Sos Udang Kering

Bahan:
1 ketul tauhu lembut
3 sdb udang kering -direndam sekejap dan kemudian ditos
3 ulas bawang putih -dicincang
2 biji cili padi -dihiris
2 sdb sos tiram
1 sdb sos cili
2 sdb kicap manis
1 sdb kicap cair
3 sdb minyak masak/minyak bijan
Air

Cara:
1. Kukus tauhu lembut selama 10 minit. Sementara itu, sediakan sos udang kering yer.
2. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bawang putih hingga kekuningan.
3. Masukkan pula udang kering dan tumis hingga naik bau. Masukkan pula cili padi.
4. Masukkan sedikit air. Kemudian masukkan sos tiram, sos cili, kicap manis dan kicap cair. Tambah air jika suka.
5. Laraskan rasa mengikut selera masing-masing dengan menambah mana-mana bahan cecair di atas.
6. Setelah mendidih, tutup api.
7. Keluarkan tauhu dari pengukus, tuang sos udang kering ke atas tauhu. Sedia dinikmati.

Makan dengan nasi putih pun sedap. Saya sorang pun boleh habis seketul tauhu ni tau.

Ikan

Grilled Salmon With White Sauce

Monday, February 20, 2017

Grilled Salmon With White Sauce

Ikan memang kegemaran saya sebenarnya. Mungkin dari kecil mak ajar kami adik-beradik makan ikan. Dan Salmon adalah salah satu yang saya kerap order kalau makan di restoran yang menyediakan masakan western. Sekarang ni nak makan selalu tak dapat la sebab mahal kot salmon ni. Pastu ikan mana kenyang sangat kan.

Ni first time saya buat resepi ni. Pada saya ni kira menjadi la walaupun kuahnya terpekat sedikit. Sebab bila sejuk kuah akan lebih pekat. So masa masak tu biar dia cair sikit takpe. Next time buat, saya upload gambar yang baru.

Grilled Salmon With White Sause
(Salmon Panggang Dengan Sos Putih)

Rujukan: lilkiddo.com

Bahan salmon:
1 ketul ikan salmon
1 sdb butter
3 ulas bawang putih -ditumbuk
Secubit garam
Sedikit serbuk lada hitam
1 sdt perahan lemon

Bahan sos:
2 sdb butter
1/2 biji bawang besar -dicincang
1 sdb tepung gandum
1/2 sdt daun parsli kering -boleh ganti herb lain ikut apa yang ada kat rumah
1 cwn susu segar/susu cair
Secubit garam
Secubit serbuk lada hitam

Cara salmon:
1. Satukan serbuk lada hitam, bawang putih dan garam. Lumurkan bahan-bahan tadi pada ikan salmon.
2. Lumurkan pula perahan lemon dan butter hingga sebati. Perap selama 10-15 minit.
3. Setelah perap, panaskan kuali dan panggang salmon dalam 10-15 minit. Jangan terlalu lama untuk elakkan salmon menjadi keras. Ketepikan.

Cara sos:
1. Panaskan butter dalam periuk kecil. Goreng bawang besar sehingga layu.
2. Masukkan tepung gandum dan kacau sehingga tepung gandum melekat pada bawang.
3. Masukkan bahan-bahan lain dan masak hingga mendidih sambil kacau yer. Tak perlu tambah tepung lagi yer nanti jadi terlalu pekat macam 1st time saya buat tu.
4. Setelah mendidih, bolehlah matikan api dan mula mendeko salmon panggang anda yer.

Saya makan dengan kentang goreng serta buncis dan carrot rebus. Nyumssss!!!

Bihun / Mi / Kuey toew

Kuey Teow Kungfu

Monday, February 20, 2017

Kuey Teow Kungfu

Suami saya tak suka makan kuey teow. Tapi kalau buat menu ni, dia akan makan. Dua hidangan sekali hadap pun habis. Kalau setakat koey teow goreng, saya kena masak hidangan lain untuk suami. Hurmm....macam tak berapa rajin pulak kan.

Kalau makan di luar, memang selalu order kuey teow kungfu. Tapi dapat sikit jer. Tak puas makan. Jadi, saya testing buat kat rumah. Alhamdulillah, sesuai dengan tekak suami. Anak-anak pun puas makan sebab 1 portion pun besar. Masak sendiri kan....bolehlah nak buat banyak mana pun.

Kuey Teow Kungfu

Bahan kuey teow:
1 bungkus kuey teow -dibasuh sekejap dan ditos kemudian bahagi kepada 4 bahagian
8 biji telur -2 biji telur untuk setiap bahagian kuey teow
Sedikit lada putih
Minyak masak

Bahan kuah kungfu:
2 ketul dada ayam -dipotong kecil
1 biji lobak merah saiz sederhana -dihiris kecil
1 jambak sawi -dipotong kecil
1 paket putik jagung -dibelah 8
Kubis bunga
2 sdb sos tiram
1 ketul kiub ayam
4 ulas bawang putih -dicincang
3 sdb tepung jagung -dibancuh dengan 1/2 cwn air masak
1 jag air
Lada putih
Kicap cair
Garam
Minyak masak
Cili padi -dihiris nipis

Cara:
1. Panaskan 2 sudu makan minyak masak dalam kuali.

2. Pecahkan 2 biji telur dalam mangkuk, masukkan sedikit lada putih dan kocak. Ambil sebahagian kuey teow dan kacau sekali dengan telur dalam mangkuk.

3. Panaskan 2 sudu makan minyak masak, kemudian tuang campuran kuey teow dan telur ke dalam kuali dan laraskan api kepada sederhana besar sahaja. Setelah bahagian dasar masak, terbalikkan kuey teow dan masak yang sebelah lagi. Tekan sedikit untuk pastikan tiada telur yang masih cair. Angkat dan letak dalam pinggan.

Ini hasilnya, macam masak telur dadar tu jer.

4. Teruskan proses yang sama sehingga habis kuey teow. 

5. Proses menyediakan kuah kungfu dimulakan dengan memanaskan 5 sudu makan minyak masak dalam kuali yang sama. Kecilkan sedikit api.

6. Masukkan bawang putih dan goreng hingga kuning sedikit. Jangan sampai coklat nanti tak sedap.

7. Masukkan hirisan dada ayam. Boleh tambah udang dan sotong jika suka. Kacau hingga ayam separa masak.

8. Tuang air ke dalam kuali dan masukkan kiub ayam. Boleh juga ganti dengan air rebusan ayam. Biarkan mendidih.

9. Masukkan putik jagung, lobak merah, sawi dan kubis bunga. Kemudian masukkan sos tiram dan kacau.

10. Perasakan dengan lada putih, kicap cair dan garam. Laraskan bahan-bahan tersebut mengikut citarasa anda.

11. Tuang sedikit demi sedikit larutan tepung jagung hingga mendapat kepekatan kuah yang disukai. Tunggu mendidih sedikit dan siap!!

12. Sendukkan kuah ke atas kuey teow yang telah disediakan tadi.

Puas hati dapat makan banyak!! Hihihi
Bolehlah dinikmati panas-panas bersama cili padi kicap. Terangkat uii !!!

Kuih-muih

Donat

Sunday, February 19, 2017

Donat

Donat adalah antara kuih kegemaran keluarga saya. Dapat makan donat memang satu kenikmatan yang tak terkata kononnyer. Hahaha...tapi seriously, memang kalau tekak tu rasa macam nak makan donat, memang tak boleh ditangguh lama. Mesti buat. Saya memang akan buat sekilo tepung untuk donat. Bukan untuk jual, tapi memang kami anak-beranak jer makan. Biar mereka puas dan kenyang kedonatan!!

Donat

Bahan:
1 kg tepung gandum
2 sdb butter
1 sdt garam halus
1 biji telur -dikocak
2 sdb gula
4 sdt yis kering -atau sepeket kecil mauripan (11g)
400ml air suam -lebih kurang
Sedikit minyak/butter
Gula halus untuk salut donat

Tunggu giliran untuk di'ngap'!!


Cara:
1. Dalam jag kecil, larutkan gula dalam air suam. Masukkan yis kering, kacau sedikit sahaja dan biarkan 10-15 minit untuk yis mengembang. Ketepikan. Jika yis mengeluarkan buih, itu bermakna yis aktif dan bolehlah kita meneruskan proses. Jika hanya seperti larutan, kena tukar air dan yis lain yer.
2. Dalam besen besar, tuang tepung gandum. Tinggalkan sedikit untuk kegunaan seterusnya.
3. Ramas butter dengan tepung gandum. Jadikan seperti serbuk dan gaul sebati.
4. Masukkan garam halus dan gaul sebati lagi.
5. Masukkan pula telur dan gaul sedikit sahaja.
6. Buat lubang di tengah tepung, tuang separuh daripada air yis. Masukkan bahagian yang berbuih-buih terlebih dahulu. Uli perlahan-lahan. Masukkan air yis sedikit demi sedikit sambil menguli sehingga boleh menyatukan semua tepung. Tak perlu tuang semua air yis yang disediakan yer.
7. Jika semua tepung telah bersatu tetapi doh melekat-lekat di tangan, lumur sedikit minyak/butter pada tapak tangan dan uli semula. Sekejap cukup.
8. Tutup besen dengan kain lembap dan rehatkan dalam 30 minit atau sehingga doh mengembang sekali ganda. Boleh juga rehatkan dalam microwave atau oven. Pastikan suis off yer. Kalau on kang kot jadi roti terus. Hihi
9. Setelah cukup waktu rehat doh, bolehlah tumbuk-tumbuk doh untuk keluarkan angin. Lumur tangan dengan minyak/butter dan uli lagi. Sekejap jer.
10. Boleh bahagikan doh kepada beberapa bahagian dan canaikan atas papan canai. Gunalah kayu penggelek, gelas atau apa-apa lah. Canai sehingga 1/2 inci tebal.
11. Kemudian ambil acuan bulat atau gelas bulat dan terap atas doh yang telah dicanai tadi. Buat lubang di tengah-tengahnya pula. Susun cantik-cantik atas dulang yang telah ditabur sedikit tepung gandum. Jarakkan antara 1 donat dengan donat yang lain yer kerana ia akan mengembang lagi tau. Teruskan untuk bahagian lain yang telah dibahagi tadi.
12. Lebihan-lebihan doh tadi uli sikit dan ulang proses menerap sehingga habis yer.
13. Panaskan minyak dalam kuali besar. Setelah minyak panas, kecilkan api dan bolehlah mula menggoreng donat. Goreng 4-5 ketul donat yang mula-mula diterap tadi. Ikut giliran yer. Sebab nak bagi masa untuk ia mengembang lagi.
14. Balik-balikkan donat dalam kuali agar ia masak sekata. Angkat setelah keperangan dan tos sekejap yer.
15. Gaul donat tadi dalam gula dan boleh dihidangkan.

Jika suka, boleh campur sedikit serbuk kulit kayu manis ke dalam gula sebelum menggaul donat.

Jagung

Jagung Kikir Bersama Kelapa Parut

Sunday, February 19, 2017

Jagung Kikir Bersama Kelapa Parut

Saya tak pasti dari mana asal makanan macam ni. First time saya makan bila mak saya buat, itu semestinya. Hari tu mak rebus jagung. Mungkin sebab terlalu kenyang dengan macam-macam makanan yang masuk ke perut, jadi jagung rebus tu tergolek-golek jer la dalam pinggan. Tak laku. Jadi, mak buat macam ni. Nah...memang sekelip mata jer habis. Siapa yang lambat ke dapur memang tak merasa la. Favourite abah jugak ni.

Resepi ini tiada sukatan tertentu. Semuanya ikut citarasa anda ketika menyediakannya. Yang pasti mesti ada rasa manisnya dan cukup garam. Jangan takde rasa jagung sudahlah. Jom tengok resepi.

Jagung Kikir Bersama Kelapa Parut

Bahan:
Jagung rebus
Kelapa parut -putih sahaja
Gula
Garam halus

Cara:
1. Kikir jagung ke dalam mangkuk besar. Tongkolnya buang yer.
2. Masukkan kelapa parut, gula dan garam. Gaul sebati. Siap!!

Pergilah cari jagung sekarang!

Sayur

Tauge Masak Lemak Putih Dengan Tauhu

Sunday, February 19, 2017

Tauge Masak Lemak Putih Dengan Tauhu

Mak saya suka juga masak macam ni. Kira menu legend jugaklah. Hihihi. Tauge masak lemak putih dengan tauhu ni kalau lawan dengan keli sambal...perghhh!!! Bertambah-tambah nasi saya makan. Nak menyediakannya pun tak susah. Ikut citarasa sendiri jer semuanya.

Tauge Masak Lemak Putih Dengan Tauhu

Bahan:
1 mangkuk tauge -saya buang bahagian akarnya
2 ketul tauhu putih -dipotong 4
10 ekor udang hidup -dibuang kepala dan kulit
1 biji bawang merah -dihiris
2 ulas bawang putih -dihiris
2 cwn air
100ml santan kotak -boleh kurangkan
Secubit garam
Secubit gula

Cara:
1. Masukkan air ke dalam periuk, masukkan bawang merah dan bawang putih. Tunggu hingga mendidih.
2. Setelah mendidih masukkan tauge, tauhu dan udang. Tunggu sehingga udang separuh masak.
3. Masukkan santan, gula dan garam.
4. Tunggu mendidih sekejap dan tutup api. Siap!!!

Boleh tambah cili merah yang dipotong serong untuk persembahan yang lebih menarik.

Kek

Kek Coklat Moist Sedap

Sunday, February 19, 2017

Kek Coklat Moist with original topping, chocolate.

Ni resepi mak saya. Sebanyak mana saya cari resepi di internet, saya tak jumpa resepi seperti ini. Dan sejak saya berjinak dengan dapur, mixer, & oven, inilah satu-satunya resepi kek coklat yang saya gunakan. Ia lembap, lembut dan paling penting ia sangat sedap. Saya pernah membawa kek coklat ini untuk portluck kejiranan. Mereka sangat suka akan texture dan rasanya dari gigitan yang pertama lagi. Jadi, saya sangat syorkan anda cuba resepi ini.


Kek sebelum disolek. Hihi
Tekstur kek. Ni yang sempat diambil gambar. Yang selebihnya...selamat dah dalam perut.


Kek Coklat Moist Sedap (Resepi Emak)

Bahan kek:

3 biji telur
1 cawan gula
1 cwn tepung gandum -diayak
1 sdt baking powder -diayak
1 sdt soda bikarbonat -diayak          
3/4 cwn serbuk koko -diayak
1 cwn minyak jagung
1 cwn susu coklat
1/2 cwn susu pekat manis


Bahan topping coklat: (topping yang original)

1/2 cwn serbuk koko
1/2 cwn susu pekat manis
2 sdb butter

Cara:
1. Sapu butter di keseluruhan bahagian dasar dan dinding loyang. Saya guna loyang ukuran 7 inci. Kemudian letak kertas minyak di dasar dan dinding loyang. Sapu lagi butter di atas kertas minyak tersebut.
2. Panaskan oven selama 15 minit.
3. Pukul telur dengan gula hingga gebu. Saya guna mixer.
4. Masukkan minyak jagung, susu coklat dan susu pekat manis. Pukul sebati.
5. Masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit sehingga habis. Pukul sebati.
6. Kemudian masukkan baking powder dan soda bikarbonat. Pukul sebati.
7. Akhir sekali masukkan serbuk koko dan pukul sebati.
8. Tuang adunan ke dalam loyang yang telah disediakan tadi. Hentak sedikit loyang untuk keluarkan udara yang terperangkap jika ada.
9. Sebaik oven dipanaskan, bakar adunan pada suhu 140 C selama 45-60 minit atau sehingga kek masak. Suhu membakar mungkin berbeza mengikut oven masing-masing.
10. Untuk tahu sama ada kek sudah masak atau belum, cucuk kek dengan cake tester atau lidi. Jika masih terdapat adunan yang melekat pada lidi, tambah masa membakar dalam 10-15 minit lagi. Jika lidi yang dikeluarkan licin, itu menunjukkan kek telah masak.
11. Keluarkan loyang kek dari oven dan biarkan sejuk seketika. Setelah loyang sejuk, keluarkan kek dan terbalikkan kek di atas redai. Tanggalkan kertas minyak yang melekat pada kek.
12. Sementara itu, dalam periuk kecil, satukan serbuk koko dengan susu pekat manis. Kacau sebati.
13. Panaskan atas api paling kecil, masukkan butter dan kacau sehingga butter cair. Kacau sebati dan tutup api.
14. Sediakan kek di atas papan kek. Tuangkan topping coklat tadi ke atas kek dan ratakan sehingga ke bahagian tepi kek. Siap!!
Topping coklat untuk birthday anak.
Selain topping coklat, saya cuba bereksperimen dengan topping krim (gambar bawah). Saja nak tau sama ada kombinasinya sesuai atau tidak. Bagi yang suka rasa lemak dan gemarkan krim, boleh cuba yer. Resepi yang saya guna ini tidak terlalu manis. Sedang-sedang jer kata orang. Ahaks..


Bahan topping krim: 

250 gram krimwell
50 gram butter
100 gram gula icing
2 sdb susu pekat manis
Pewarna pilihan -gunakan oil based atau powder based
 *pewarna water based kurang sesuai untuk krim


Cara:

1. Putar kesemua bahan (kecuali pewarna) hingga sebati dan gebu. Boleh tambah gula icing jika suka manis. 
2. Bahagikan krim kepada beberapa bahagian dan titiskan pewarna kegemaran.
3. Kaup balik adunan krim dengan menggunakan spatula.
4. Krim sedia dilepa dan di'pipe' ke atas dan tepi kek. 


Topping krim untuk testing. Jenuh weh nak lepa sebab tak reti. 1st time ler katakan.
















Saya juga bereksperimen dengan jem raspberi (gambar bawah). Kebetulan ada lebihan buah raspberi beku dalam peti ais. Kombinasi coklat-raspberi pada saya memang sesuai dengan rasa raspberi yang sedikit masam. Ia mengelakkan rasa muak jika kita makan kek.
Bahan topping jem raspberi:

150 gram buah raspberry -saya guna yang frozen
2 sdb tepung jagung -dibancuh dengan 1/4 cawan air
Gula secukupnya

Cara:

1. Dalam periuk dengan api sederhana, masak buah raspberry hingga menjadi sirap.
2. Tambah gula sedikit demi sedikit hingga dapat tahap kemanisan yang disukai. Biar masam-masam sikit takpe.
3. Tuang sedikit demi sedikit bancuhan tepung jagung supaya jem pekat sedikit. Tak perlu terlalu pekat sebab bila sejuk jem akan jadi pekat dengan sendiri.
4. Tunggu jem sejuk sebelum disapu di atas kek.


Topping jem raspberi. Rupa tak seberapa, tapi rasanya sedap ok!

Bolehlah hiaskan kek mengikut kreativiti masing-masing yer. Saya tak kreatif.

Ikan

Ikan Masak Taucu

Thursday, February 16, 2017

Ikan Masak Taucu. Ini gulai taucu versi mak saya.

Ini memang favourite dish saya. Lagi-lagi kalau mak yang masak. Kuahnya tu saya ambil banyak biar nasi berenang-renang dalam pinggan. Butir taucu tu saya kaut, cili muda dan timun pun saya kaut. Pastu bila nasi habis, saya hirup baki kuah dari pinggan jer. Hihi... buruk perangai. Saya tak kisah. Tu nikmat hidup namanya! Hehe...

Saya ingat husband saya tak suka makan lauk ni, so memang saya tak pernah buat kat rumah sendiri. Satu hari saya hidangkan yang mak saya masak. Aik...suka rupanya. So saya cari la taucu dan masak sendiri. Senang rupanya. Boleh buat lagi la lepas ni sebab bos suka kan!

Ini pula versi saya. Nampak tak beza yang dah beratus kali masak dengan yang 1st time masak? Tapi resepi sama. 😀
Ikan Masak Taucu

Bahan:
3 potong ikan merah (ikan lain pun boleh) *
3 biji bawang merah -dihiris *
3 ulas bwang putih -dihiris *
1 ini halia -dimayang *
1 biji bawang besar -dibelah 4
4 sudu taucu brand Opah (saya guna brand lain sebab tak jumpa brand Opah kt sini)
1 biji timun -dibuang empulur, dipotong tebal 1cm, panjang 1 inci
2 biji cili hijau -dibelah tengah
4 sudu minyak -untuk menumis
3 cwn air
Garam
Gula


Cara:
1. Potong timun terlebih dahulu dan rendam dalam cuka supaya timun jadi rangup. Ketepikan dahulu. Kemudian barulah sedikan bahan-bahan lain.
2. Panaskan minyak dalam periuk atau kuali. Tumis bahan bertanda * sehingga layu.
3. Masukkan taucu (sebanyak yang disukai) dan kacau sebati.
4. Masukkan air (sebanyak mana kuah yang disukai) dan biarkan mendidih.
5. Masukkan ikan dan tunggu ikan masak.
6. Masukkan cili hijau, bawang besar dan timun (tos dahulu timun tu yer).
7. Perasakan dengan sedikit gula dan garam jika perlu. Sebelum letak garam, rasa dahulu kuahnya kerana taucu itu sendiri sudah masin.
8. Setelah mendidih, boleh tutup api dan hidang dengan nasi putih panas.

Bila la nak buat masak taucu ni lagi. Kena cari ikan nampaknya.

Muffin

Muffin Labu

Thursday, February 16, 2017

Muffin Labu

Pernah suatu ketika ibu saudara kepada husband bagi sebiji labu bersaiz besar. Punya la tak tau nak buat apa. Segala resepi labu saya buat. Salah satu daripadanya ni la muffin labu. Sedap jugak sebenarnya muffin labu ni. Kalau u ols ada masalah nak buat apa dengan labu yang banyak, boleh cuba muffin labu yer.

Muffin Labu
Rujukan : izahdaut

Bahan:
1 cwn tepung gandum
3/4 sdt baking powder
1/4 sdt soda bikarbonat
1/2 sdt garam halus
1/2 cwn labu lecek (direbus terlebih dahulu)
1/4 cwn yogurt (saya ganti dgn susu segar)
2 biji telur
1/4 cwn minyak jagung
1/3 cwn gula
1/2 sdt esen vanila
Cip coklat untuk hiasan



Cara:
1. Panaskan oven ke suhu 140 C (ikut oven masing-masing yer).
2. Ayak tepung bersama soda bikarbonat, baking powder & garam. Ketepikan.
3. Dalam bekas lain, satukan labu, telur, gula, yogurt dan minyak jagung. Kisar sehingga licin.
4. Masukkan bahan kisar ke dalam adunan tepung.
5. Gaul adunan sekadar bersatu. Jangan overmixed.
6. Ceduk adunan ke dalam cawan muffin sehinggan 3/4 penuh sahaja. Kemudian taburkan cip coklat di atasnya sebagai penyeri.
7. Bakar suhu 140 C selama 25 minit atau sehingga muffin masak. Suhu & masa bergantung kepada oven masing-masing.

Ok, boleh borong labu dah yer.

Lauk-pauk

Tauhu Telur Dengan Sayur Campur

Tuesday, February 14, 2017


Tauhu Telur Dengan Sayur Campur

Taufu ni sedap dimakan tapi saya ada masalah nak masaknya. Sebab terlalu lembut. Dah habis jaga-jaga masa keluarkan dari plastik, potong elok-elok pastu nak goreng sekejap. Part goreng ni la kadang ada yang terkulai terlerai. Ate...udah tak lawa ler bentuknya. Tak kisah, janji bila masak nanti rasanya sedap!


Taufu Telur Dengan Sayur Campur

Bahan:
2 tiub taufu telur - dipotong bulat dengan tebal 1 inci
1 ulas bawang merah kecil -dihiris
2 ulas bawang putih -dihiris
1 biji carrot saiz sederhana -dihiris bulat-bulat
5 biji putik jagung -dipotong memanjang
5 urat kacang buncis -dihiris serong ukuran seinci-seinci
Sedikit bunga kubis -dihiris
1 sdb sos tiram
1 sdk tepung jagung -larutkan dalam sedikit air masak
5 sdb minyak masak
Sedikit air
Secubit garam



Cara:
1. Panaskan minyak masak & goreng taufu dengan api sederhana. Setelah 1 bahagiannya kecoklatan, balikkan taufu untuk masak yang sebelahnya pula. Jangan kerap balik-balikkan kerana taufu mungkin akan pecah.
2. Setelah warna taufu keemasan, angkat dan sebelahkan. Kurangkan minyak kepada 2 sdb sahaja.
3. Tumis bawang merah dan bawang putih hingga layu.
4. Masukkan bunga kubis, diikuti kacang buncis, putik jagung dan carrot. Gaul hingga sayur menjadi sedikit layu. Masukkan sedikit air supaya sayur sedikit berkuah.
5. Masukkan sos tiram & gaul sebati. Masukkan garam & gaul lagi sehingga kuah sayur mendidih.
6. Tuang larutan tepung jagung dan kacau sebati. Kuah akan menjadi pekat dan bolehlah sayurnya diangkat. Jangan lupa matikan api yer.

Sesuai la makan macam ni kalau nak diet.

Like us on Facebook

Flickr Images