Si Nona Manis Yang Viral

Thursday, March 16, 2017

Kuih Nona Manis

Akhirnya... Cik Nona Manis unlocked! Lama simpan hajat nak me'nona manis'. Tapi asyik tak kesampaian. Semalam, berbekalkan santan yang masih berbaki lebih 500ml, jadi jugak kuih yang viral ni. Tapi dek kerana tak pernah buat kuih ni, sibuk nak sukat bahan, jam itu jugak nak shooting gambar untuk blog, ditambah takde pembantu dan dalam masa yang sama kena jeling jugak anak-anak tu kan. Agak meletihkan. Almaklum...amatur ler katakan. Hadeih...

Dimulakan dengan menyukat bahan-bahan, lepas tu susun bahan, ambil gambar pulak, ubah posisi, ambil gambar lagi. Cahaya pulak tak cantik, nampak bayang-bayang lah, angle tak cantik la. Aduhai...letih. Hasilnya macam gambar yang ada tu la. Ate, kita bukan ambil jurusan fotografi. Belasah jer la labu. Yang penting resepinya tu menjadi. So, apa tunggu lagi? Jangan biarkan acuan lompang tu tertonggeng jer dalam almari dapur!


Puas hati makan macam ni. Tengok yang putih tu lembik-lembik...sedap uiii !!!

Eh, jap. Dalam resepi ini, air pandannya disediakan dengan cara mengisar daun pandan itu sendiri. Tapi saya pula hanya gunakan esen pandan sebabnya tiada daun pandan di rumah saya. Boleh jer. Baunya tetap wangi. Yang penting, pandan yer. Satu lagi, kalau nak mudah sikit, bahan A dan bahan B tu tak payah asingkan. Sekalikan jer sukatannya. Err...faham tak agak-agaknya?


Kuih Nona Manis
(Untuk adunan ini, saya dapat 30 biji kuih Nona Manis)

Rujukan : Azlita Masam Manis


Bahan A:

1 biji telur
1 cawan tepung gandum
1/2 cawan gula halus
1 cawan santan pekat (saya guna 1 kotak kecil santan + air,dan dijadikan 1 cawan)


Bahan A

Bahan B:

1/2 cawan santan pekat
1/2 cawan air pandan (saya guna air biasa jer)
1 sdt esen pandan
1/4 cawan gula halus
1/4 cawan tepung jagung
1/2 sdt garam halus
1/2 sdt pewarna hijau (warna ikut kesukaan masing-masing)


Bahan B

Bahan C:

1 cawan santan pekat (saya guna 1 kotak kecil santan + air, dan dijadikan 1 cawan)
1 sdb tepung gandum
1 sdb gula pasir
1/2 sudu teh garam halus

Bahan C


Cara:

1. Bahan A; pukul telur hingga kembang. Tapi saya kisar guna blender jer. Masukkan pula bahan-bahan A yang lain dan kisar bersama dengan telur. Ketepikan adunan A.
2. Bahan B; satukan gula, tepung jagung dan garam. Kemudian masukkan santan dan air. Kacau sebati supaya tidak berbintil-bintil dan titiskan pewarna hijau. Sebatikan adunan B.
3. Kemudian masak dengan api sederhana dan sentiasa kacau adunan B. Adunan B akan meletup-letup dan menjadi pekat. Tutup api dan biarkan sehingga suam-suam kuku.
4. Satukan adunan A dan adunan B. Kacau rata dan kisar supaya adunan hijau ini lebih sebati. [A+B=adunan hijau]
5. Bahan C; satukan kesemua bahan dan kacau sebati. Masak atas api sederhana sambil sentiasa dikacau hingga adunan putih ini pekat. [C=adunan putih]
6. Panaskan periuk pengukus hingga airnya mendidih. Balut penutup periuk pengukus dengan kain bersih supaya airnya tidak menitis pada kuih. Saya tak balut pun. Pandai-pandai ler nak elak menitis tu. Hehe...
7. Masukkan adunan putih ke dalam piping bag atau beg plastik di bahagian bucu. Gunting sedikit bahagian bucu plastik tersebut.
8. Sediakan acuan lompang dan oleskan minyak pada acuan tersebut. 
9. Tuangkan adunan hijau ke dalam acuan lompang sehingga 3/4 penuh. Kemudian picit adunan putih di tengah-tengah adunan hijau sehingga naik memenuhi acuan lompang.
10. Kukus selama 7-10 minit. Kemudian angkat dan sejukkan dahulu sebelum dikeluarkan dari acuan.


Adunan hijau dituang sehingga 3/4 penuh acuan.

Adunan putih dipicit di tengah-tengah adunan hijau.

Nona Manis sudah sedia untuk dinikmati. Yummeh!!!
Selain hijau, menarik juga jika diwarnakan pink, ungu atau oren. Kan???

You Might Also Like

0 comments

Like us on Facebook

Flickr Images