Bengkang Roti @ Bingka Roti

Monday, March 13, 2017

Bengkang Roti @ Bingka Roti


Saya panggil bengkang roti. Ada yang panggil bingka roti. Mana-mana pun boleh. Ia antara kuih-muih atau kudapan yang mudah untuk disediakan, selain ia sesuai untuk sarapan dan minum petang. Selalunya kalau beli roti tapi tak habis dimakan sebelum tarikh luput, inilah hasilnya. Tak membazir dan cepat pula habis.

Tidak bagi keluarga kami, roti tu dah macam makanan ruji seperti nasi. Sekali beli memang dua buku yang panjang. Insyaallah habis sebelum tarikh luput. Kuat makan roti kami ni, terutama anak yang ke-3. Hari-hari roti memang tak jemu. Untuk entry kali ini, sengaja saya simpan roti yang ada tu walaupun belum tamat tempoh. Memang target nak buat bengkang roti ni. Almaklum, hari-hari anak bawa bekal ke sekolah. Jadi saya kena siap sedia dengan menu yang hendak disediakan.

Bahan-bahannya mudah, semudah cara membuatnya. Resepi ini saya dapat hasil perkongsian sahabat sekolah menengah saya, Puan Erma Juniza. Beliau berniaga pelbagai kuih-muih dan mempunyai perniagaan katering. Jom buat bengkang roti.

Masih dalam loyang, telah sejuk dan sedia dihidang.


Bengkang Roti @ Bingka Roti

Credit : Puan Erma Juniza


Bahan:

3 biji telur
1 sdt garam halus
7 sdb gula
1 tin susu cair (boleh ganti dengan 1 cwn santan)
1 cawan air
1 cawan tepung gandum
7 keping roti putih
Sedikit kismis hitam
Butter


Cara:

1. Pukul telur dengan gula dan garam. Masukkan susu cair dan air. Kacau sebati.
2. Masukkan tepung gandum dan kacau sebati. Boleh juga kisar hingga halus semua bahan guna pengisar (kecuali roti dan kismis).
3. Sapu/spray butter pada loyang. Tuang adunan tadi ke dalam loyang. Koyak-koyakkan roti dan rendamkan ke dalam adunan tadi. Saya tekan-tekan sikit bagi roti tu tenggelam.
4. Panaskan oven 15 minit sebelum membakar.
5. Masukkan loyang berisi adunan ke dalam oven. Bakar dengan suhu 140 C selama 40 minit. Biarkan sejuk sebelum dipotong.

Saya bakar pada waktu malam dan makan esok paginya.

Pukul 530 pagi potong bengkang roti untuk bekal anak ke sekolah.

You Might Also Like

0 comments

Like us on Facebook

Flickr Images