Ayam

Chicken Ball Yang Simple Dan Mudah

Friday, December 08, 2017

Chicken Ball Yang Simple Dan Mudah
Ok, mommy tak ingat bila mommy buat chicken ball ni. Tapi rasanya masa tu kita dah pindah ke rumah BSP. Mommy tak upload resepi tu ke blog sebab masa tu blog lama mommy domainnya dah kena suspend sebab tak bayo. Hihihi...ye la, kita pun bukan selalu senang. Akhirnya blog yang dah mommy usahakan dari tahun 2011 tu terpaksa berkubur dan mommy mulakan semula dalam blog sekarang. Jenuh weh, nak cari gambar-gambar lama. Mujur masih disimpan dalam laptop. Elok jer mommy settle buat balik blog ni, laptop pun rosak. Huhuhuhu...

Actually boleh jer beli nugget atau chicken ball yang ready made kan. Tapi, saja la nak try buat sendiri. Mommy pun tak ingat dari blog mana mommy rujuk resepi chicken ball ni. Mommy harap tuan punya resepi halalkan la resepi yang mommy siarkan dalam blog ni. Jom kita baca dan cuba resepi ni.


Chicken Ball Yang Simple Dan Mudah


Bahan-bahan :

4 ketul isi ayam -dicincang/dikisar kering
1 bj telur -dikocak
2-3 sdb tepung jagung
1 ketul kiub ayam Maggi (mommy guna perencah mi Maggi ayam)
Sedikit garam -jika perlu
Serbuk roti secukupnya
Minyak untuk menggoreng


Cara-cara :

1. Gaul sebati semua bahan kecuali serbuk roti.
2. Kemudian bentukkan bulat-bulat menjadi bebola sebesar bola pingpong. Jangan terlalu besar kerana dikhuatiri isi di dalam tidak masak dengan baik ketika menggoreng nanti.
3. Golekkan atas serbuk roti sehingga rata ke seluruh permukaan bebola. Golekkan sehingga habis bebola yang telah dibentuk tadi.
4. Panaskan minyak yang banyak dalam kuali.
5. Setelah minyak betul-betul panas, kecilkan sedikit api dan mula la menggoreng.
6. Balik-balikkan bebola agar masak sekata.
7. Setelah bebola bertukar ke warna keemasan, bolehlah diangkat dan ditos dengan kertas tisu dapur.
8. Bila dah sejuk sikit, bolehlah dihidang dan dinikmati dengan sos cili Thai.

Jika adunan agak lembik, boleh capurkan sedikit serbuk roti ke dalam campuran ayam.

Ayam

Ayam Masak Lemak CIli Api Dengan Fungus Hitam

Tuesday, December 05, 2017

Ayam Masak Lemak CIli Api Dengan Fungus Hitam

Lama betul mommy tak update blog. Menu dalam entry kali ni pun dah lama buat. Baru ni nak upload. Masa tu kita busy dengan hari penyampaian hadiah dan persembahan sekolah Ulin & Ilan, lepas tu busy konsert akhir tahun Arman pula. Elok habis semua tu, Ilan & Arman pula berkhatan. Mommy pun busy jaga kome. Mary Kay pun tergandala kejap.

Ni kebetulan daddy dah install aircond kat bilik kerja ni, boleh la melepak lama sikit. Pagi ni pun daddy beli nasi lemak so tak payah mommy nak terkejar-kejar masak untuk orang berpantang.

Baiklah, menu kali ni diinspirasikan oleh lauk kenduri jiran di Seremban. Masa tu lauk kenduri tu ialah masak lemak cili api fungus hitam! Something yang agak lain dari kebiasaan. Fungus masak lemak. Last mommy makan fungus masa kita makan mi tarik kat Cyberjaya. Mommy order mi tarik fungus.

So, bermula la pemburuan fungus hitam. Mujur kita nampak masa shopping kat Giant. Mahal jugak sepeket tu. Berapa jer gram dia. Tapi bila rendam tu banyak pula. Takpe, mommy boleh makan. Don't worry. Tapi, ajaib juga bila daddy pun makan. Masa kat kenduri tu makan jugak dia. Tu yang mommy confident nak masak fungus. Kita tengok resepi lah yer.

Fungus hitam dan ayam masih dalam kuali.


Ayam Masak Lemak CIli Api Dengan Fungus Hitam


Bahan-bahan:

1/2 ekor ayam -dipotong kecil (ikut suka nak potong beso mana)
2 inci kunyit hidup -ditumbuk
10 biji cili padi -ditumbuk
2 batang serai -diketuk
1 cawan santan (ikut selera masing-masing)
100 gram fungus hitam -direndam selama 2 jam terlebih dahulu
1 keping asam gelugor
Garam
Air


Cara:

1. Masukkan ayam, serai berserta cili padi dan kunyit hidup yang telah ditumbuk ke dalam kuali. Dengan api sederhana, gaul rata dan biarkan ayam mengecut bersama bahan-bahan tadi. Tutup kuali dengan tudung periuk supaya proses masak lebih cepat.
2. Sesekali gaul bahan-bahan dalam kuali tadi. Tutup semula. Biar sehingga ayam mengeluarkan airnya dan menjadi kecut atau separuh masak.
3. Setelah air ayam hampir kering dan ayam menjadi separuh masak, tuang air secukupnya.
4. Sementara itu, koyak-koyakkan kepada kepingan yang lebih kecil fungus hitam yang telah direndam tadi. Masukkan fungus hitam ke dalam kuali dan biarkan air tadi mendidih supaya fungus lembut sedikit.
5. Setelah ayam empuk dan fungus menjadi lembut, masukkan santan dan asam gelugor. Pastikan sentiasa dikacau.
6. Masukkan garam mengikut selera dan tunggu mendidih sebentar. Jangan biarkan didih lama. Tutup api dan hidangkan.

Macam asam keping pun ada rupa fungus ni.
Lagi banyak fungus, lagi berselera makan. Sebab sedap nak kunyah dan ratah fugus hitam tu.

Ayam

Rendang Ayam Mudah Tetapi Sedap

Thursday, October 26, 2017

Rendang Ayam Mudah Tapi Sedap

Dulu mommy tak pandai masak dan tak pernah masak langsung. Dah bertunang dengan daddy baru mommy belajar-belajar masak. Selepas kahwin baru mommy betul-betul masak. Tu pun main dengar jer opah sebut resepi dan tengok cara masak. Lepas tu pandai-pandai la buat sendiri. Hihihi..

Tapi hari ni, siapa sangka mommy dah boleh masak sendiri rendang ayam! Walaupun bahannya tak lengkap, tapi rasa rendang ni dah meletop dah kat tekak daddy. Kome pun suka makan. Opah dan tok pun puji. Hihihihi... Walaupun begitu, bukan setiap kali masak dapat rasa yang sama. Hahahaha...tak konsisten! Yang penting, sedap kat tekak kita sekeluarga!

Rendang ni mommy dah banyak kali jugak masak. Tapi rupanya tak lawa. Tapi kali ni lawa sikit sebab ada daun kunyit tu. Selalu mana la mommy rajin nak hiris daun kunyit tu. Kome nanti asing-asingkan daun tu. Bukannya makan pun. Tapi sebab nak masuk dalam blog, kena cantik sikit la kan.


Rendang Ayam Mudah Tetapi Sedap

Kredit : Puan Rosnani


Bahan-bahan :

1 ekor ayam -dipotong 20
5 sdb cili kisar (sila rujuk resepi cili kisar dalam blog ni)
5 inci kunyit hidup -dikisar bersama cili
5 batang serai -dikisar bersama cili
2 keping asam gelugur
1 cawan santan pekat (mommy guna 1 kotak kecil santan)
2 helai daun kunyit -dihiris halus ATAU
Beberapa helai daun limau purut -diracik
1 senduk besar minyak masak
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
Air secukupnya


Cara-cara :

1. Cuci bersih ayam dengan tepung gandum, buang lemak dan kulit. Sekali-sekala taknak buang kulit pun takpe. Bilas dan toskan.
2. Dalam kuali besar, panaskan minyak. Tumis cili kisar dan bahan-bahan kisar lain hingga separa garing. Kemudian masukkan ayam, air secukup rasa, asam gelugur, gula dan garam. Kacau sebati.
3. Laraskan kepada api sederhana dan tutup dengan tudung periuk sambil sesekali kacau bahan dalam kuali.
4. Setelah ayam separa masak, masukkan santan pekat dan kacau sebati. Tutup semula dengan tudung periuk dan biarkan ayam masak.
5. Jika ayam sudah masak, laraskan rasa rendang dengan menambah lagi gula dan garam hingga dapat rasa yang diingini. Jika mahu kuah lebih, tambahkan air masak. Jangan air paip yer. Risau rendang cepat basi. Kacau sebati.
6. Akhir sekali taburkan hirisan daun kunyit atau daun limau purut ke dalam rendang ayam. Mommy masukkan kedua-duanya. Hahaha...Aroma dia masa ni...fuhhh!!! Mengancam selera betul!

Sedia untuk dihidangkan bersama pulut kuning, nasi putih atau dimakan dengan roti putih.

Ayam

Ayam Panggang ala Kenny Rogers

Thursday, May 04, 2017

Ayam Panggang ala Kenny Rogers


Ngantuk giler time nak taip post ni. Mata tak boleh bukak. Arman pulak tengah baca buku cerita The Hungry Shark. Tak sampai hati nak suruh berhenti baca sedangkan mata Mommy dah banyak kali tutup dari buka. Penyudahnya Mommy cakap kat Arman yang Mommy ngantuk. Dia pun ngantuk rupanya. Simpan buku dan Mommy terus tertidur. Memandangkan Soffiya pun tidur, so ok la kan.

Kena try resepi ni...memang sedap.


Dah dapat tidur dalam setengah jam, Mommy terjaga, main-main dengan Soffiya kejap yang kebetulan pun dah bangun. Now baru sambung post ni. Walaupun masih blur-blur sebab baru bangun tidur kan.

Baiklah...hari ni Mommy nak bagi menu baru. Yang Mommy rujuk dari banyak blog antaranya Cik Epal. Tapi Mommy edit ikut cara Mommy la yer. Pada hari Mommy buat menu ni, Mommy guna ayam yang dah sedia dipotong. Sebab itu jer yang ada dalam peti ais kan. Haha...senang sikit. Tapi versi yang Mommy buat ni macam ada kuah la. So, tak perlu nak buat kuah lain kalau nak makan dengan nasi putih. Seriously sedap ayam ni. Daddy pun suka.

Apa beza kiri dan kanan? Hehehehehe


Ayam Panggang ala Kenny Rogers

Rujukan : Cik Epal


Bahan :

1 ekor ayam
Sedikit air untuk kisar bahan perap
Sedikit butter/minyak


Bahan perap :

3 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia
3 sdb sos lada hitam
1 sdb lada hitam kasar
2 sdb madu
1 ketul kiub ayam -Mommy guna brand Maggi
2 sdb gula
2 sdb mixed herbs -boleh ganti dengan parsley atau oregano
1 1/2 sdt garam halus

Perap dulu yer.



Cara :

1. Bersihkan ayam dan tos. Kalau ikut resepi asal, ayam tidak perlu dipotong. Tapi Mommy pakai ayam yang dah siap potong jer.
2. Kisar semua bahan perap dengan sedikit air. Mulakan dengan 2 sudu air jer. Kalau tersekat-sekat, tambah lagi sedikit hingga proses mengisar tidak tersekat-sekat. Kalau nak kuah, masukkanlah 1/4 cawan air terus.
3. Kemudian, lumur bahan perap ke seluruh ayam termasuk bahagian dalam ayam. 
4. Simpan ayam dalam peti sejuk (bahagian chiller yer) dan perap sekurang-kurangnya selama 2 jam.
5. Setelah diperap, panaskan oven 180 C selama 15 minit.
6. Keluarkan ayam yang diperap tadi dari peti sejuk. Sapu butter ke atas ayam. Mommy spray jer minyak, senang.
7. Bakar dalam suhu 180 C selama lebih kurang 1 jam atau sehingga ayam masak. Suhu tu ikut oven masing-masing yer. Kena testing-testing la.
8. Dah siap, boleh makan dengan nasi atau ratah jer.

Tektur ayam yang lembut dan tidak kering.


Kalau makan dengan nasi putih panas-panas pun sedap. Tak payah kuah dah.

Ayam

Sup Ayam Paling Senang

Wednesday, May 03, 2017

Sup Ayam


Boring petang-petang macam ni sambil tunggu Daddy balik kerja, Mommy selak album lama dalam laptop Mommy ni. Album dari blog Masak-Masak yang lama dulu. Terjumpa gambar sup ayam. Ingat nak share jugaklah. Mommy buat sup ayam tak pakai rempah. Senang sangat nak buat. Opah ajar semua yang senang-senang jer kat Mommy. Yang penting Mommy boleh masak untuk keluarga kecil kita. Kalau Opah start dengan resepi yang detail, mungkin Mommy akan hilang minat nak masak. Mungkin la kan. Kemudian nanti pandai-pandai la belajar sendiri. So, anak-anak Mommy pun, belajar yang senang-senang jer dulu. 

Sup Mommy walaupun tanpa rempah sup, atau sup bunjut, sedap tau. Kalau dah takde idea sangat tu...buat jer sup ayam untuk makan.


Sup Ayam Paling Simple


Bahan:

1/2 ekor ayam -potong kepada 6-8 bahagian
1 biji kentang saiz besar -dipotong 8 bahagian
1 biji lobak merah -dipotong saiz seinci dan dibelah 8
1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
1 biji bawang besar -dihiris
3 ulas bawang putih -dihiris
1 inci halia -dihiris
3 biji cili padi -diketuk
1 keping asam gelugur
1 ketul kiub pati ayam Maggi
4 sdb minyak masak
Garam
Air


Cara:

1. Sekalikan bahan hiris iaitu bawang besar, bawang putih dan halia. Tumbuk separa lumat dan ketepikan.
2. Panaskan minyak dalam periuk.
3. Tumis kulit kayu manis dan bunga lawang sehingga naik bau.
4. Kemudian masukkan bahan tumbuk, gaul-gaul dalam periuk dan tumis hingga warnanya bertukar kekuningan.
5. Masukkan air secukupnya, tutup periuk dan biar mendidih.
6. Masukkan ayam dan pastikan ayam tenggelam. Kalau tak cukup air, tambah lagi ikut selera masing-masing. Kacau biar sekata dan tutup semula periuk.
7. Masukkan cili padi dan asam keping. Biarkan mendidih sehingga ayam separa empuk.
8. Masukkan kentang, lobak merah, asam gelugur, cili padi dan kiub pati ayam Maggi.
9. Biarkan mendidih sehingga ayam, kentang dan lobak merah empuk. Tambah garam secukup rasa dan bolehlah dihidang panas-panas.

Tabur daun sup daun bawang dan bawang goreng. Simple jer kan?

Ayam

Ayam Masak Lemak Cili Api

Tuesday, April 25, 2017

Ayam Masak Lemak Cili Api


Ini adalah lauk kegemaran Daddy. Tak kisah apa, janji masak lemak. Tapi yang paling disukainya mestilah ayam kan. Penah masa kita masih di rumah sewa, lama sangat Mommy tak masak lauk ni. Sebabnya, Mommy tak reti nak dapatkan rasa yang sedap kalau masak gulai lemak cili api. Tapi Daddy tak pernah tanya kenapa lama tak masak atau suruh-suruh Mommy masak lauk kegemaran dia.

Bila dah berpindah ke rumah kita ni, baru Mommy try masak lauk ni balik. Alhamdulillah, setelah beberapa kali tengok Onyang Dewi (opah Daddy) masak, tanya sikit-sikit tips, Mommy berjaya buat gulai yang menepati selera Daddy. Walaupun rasanya tak berapa nak konsisten, tapi ok la...tak pernah mengecewakan.

Sedap hingga menjilat jari.


Ayam Masak Lemak Cili Api


1/2 ekor ayam -dipotong kecil (ikut suka nak potong beso mana)
2 inci kunyit hidup -ditumbuk
8 biji cili padi -ditumbuk
2 batang serai -diketuk
2 biji kentang -setiapnya dipotong 4 bahagian
1 cawan santan -ikut selera masing-masing
1 keping asam gelugor
Garam
Air


Cara:

1. Masukkan ayam, serai berserta cili padi dan kunyit hidup yang telah ditumbuk ke dalam kuali. Dengan api sederhana, gaul rata dan biarkan ayam mengecut bersama bahan-bahan tadi. Tutup kuali dengan tudung periuk supaya proses masak lebih cepat.
2. Sesekali gaul bahan-bahan dalam kuali tadi. Tutup semula. Biar sehingga ayam mengeluarkan airnya dan menjadi kecut atau separuh masak.
3. Setelah air ayam hampir kering dan ayam menjadi separuh masak, tuang air secukupnya.
4. Masukkan kentang dan biarkan air tadi mendidih supaya kentang empuk.
5. Setelah ayam dan kentang menjadi empuk, masukkan santan dan asam gelugor. Pastikan sentiasa dikacau.
6. Masukkan garam mengikut selera dan tunggu mendidih sebentar. Jangan biarkan didih lama. Tutup api dan hidangkan.

Jika hendak tambah air setelah dimasukkan santan, dinasihatkan untuk guna air yang telah dimasak untuk mengelakkan lauk cepat rosak atau basi.

Ayam

Ayam Masak Kurma @ Kurma Ayam

Monday, March 13, 2017

Ayam Masak Kurma @ Kurma Ayam


Ayam masak kurma atau kurma ayam biasanya dihidangkan bersama nasi tomato dan acar timun. Tapi ianya boleh juga dihidangkan bersama nasi putih. Dalam lauk kurma ayam ni disertakan juga kentang sebagai penambah kepada tekstur lauk. Chewah...sebenarnya takde idea nak taip apa. Hihi..

Ni lah masalah seorang suri. Jenuh la fikir nak masak apa hari-hari. Nak bagi suami dan anak-anak makan. Selalu sangat lauk siaran ulangan. Balik-balik lauk itu, itu, itu jugak. Hihihi...anak saya sedang baca entry ni sambil saya menaip. Dia ketawa part 'itu, itu, itu jugak'. 😂

Sudah-sudah la tu. Takde idea pun, panjang jugak saya merapu. Kepada yang amatur macam saya, boleh cuba hidangan ini yer.

Separuh jer ni. Separuh lagi untuk tengahari esok. Jimaaaaattttt...!!!!


Ayam Masak Kurma @ Kurma Ayam


Bahan:

1/2 ekor ayam -dipotong 8 bahagian
2 ulas bawang putih -dihiris
1/2 biji bawang besar -dihiris tebal
1/2 inci halia -dihiris
1 batang kulit kayu manis
1 biji bunga lawang
2 sdb rempah kurma -saya pilih Baba's
1/2 cawan santan pekat -saya pilih santan kotak Ayam Brand
2 cawan air
2 biji kentang -setiapnya dibelah 4
4 sdb minyak masak
Garam

Ayam, kentang, serbuk kurma, bawang besar, bawang putih, santan, halia, kulit kayu manis, bunga lawang.


Cara:

1. Panaskan minyak masak dalam periuk. Tumis kulit kayu manis dan bunga lawang hingga naik bau. Pastikan api sentiasa sederhana.
2. Masukkan pula bawang besar, bawang putih dan halia. Tumis hingga layu atau kekuningan.
3. Masukkan pula rempah kurma. Terus masukkan sedikit air supaya tidak hangus. Boleh juga bancuh rempah dengan sedikit air supaya menjadi pes kurma. Kemudian baru masukkan dalam periuk. Tumis hingga garing atau terbit minyak.
4. Masukkan air dan ayam. Kacau sedikit. Tutup periuk dan biar ayam mereneh dengan api sederhana.
5. Setelah ayam empuk, masukkan pula kentang. Tambah sedikit lagi air jika suka. Masak hingga kentang empuk.
6. Masukkan santan dan kacau. Perisakan dengan garam dan tunggu mendidih sedikit. Tutup api dan siap!

Boleh juga masukkan lobak merah dan cili hijau jika suka.

Ayam

Ayam Goreng Kunyit Paling Simple

Monday, March 13, 2017

Ayam Goreng Kunyit paling simple.


Hari Isnin adalah hari menu simple untuk encik suami. Selalunya saya akan masak lebih untuk bekal esok hari. Disebabkan hari Ahad saya jarang masak sekarang ni, makanyer, tiada bekalan untuk dibawa ke pejabat. Lalu terhasillah menu simple ni. Kesian encik suami makan simple jer. Tapi kami pun sama kat rumah. Yang simple jugak. Janji perutnya kenyang dan dapat bekerja dengan baik demi seperiuk nasi untuk keluarga kecil kami yang semakin membesar ahlinya.

Cukup untuk seorang makan jer ni.
Untuk amatur macam saya, menu ni memang penyelamat. Almaklum ler Monday blues kan? Ingat orang pejabat jer ada blues? Orang dok rumah pun ada tau. Kami pun bekerja jugak. Dulu masa kerja, memang bercinta la nak gi office. Sekarang tak la macam tu. Sambil layan blues tu, siap jugak bekalan untuk suami. Ayam goreng kunyit lawan nasi goreng kuning. Tapi dalam entry ni saya cuma letak ayam goreng kunyit jer.


Ayam Goreng Kunyit


Bahan:

2 ketul dada ayam -dihiris
5 tangkai kacang buncis -boleh ganti kacang panjang
1/4 biji bawang Holland -dihiris tebal.
1 sdt serbuk kunyit
Garam halus
Minyak masak

Dada ayam, kacang buncis dan bawang Holland.


Cara:

1. Lumur ayam dengan serbuk kunyit dan garam halus. Saya memang lebih suka gunakan garam halus dalam semua masakan saya.
2. Panaskan 3 sudu besar minyak dalam kuali dan goreng ayam sehingga kekuningan. Ketepikan.
3. Dalam kuali sama, tumis bawang Holland hingga kekuningan. Masukkan kacang buncis dan goreng hingga bertukar warna hijau segar.
4. Masukkan ayam yang telah digoreng tadi. Taburkan secubit serbuk kunyit dan garam. Goreng sebati dan angkat. Siap sudah...

Boleh tambah cili merah untuk lebih ceria dan penambah perisa dalam hidangan ini.

Ayam

Kari Ayam Ala Mommy

Monday, March 13, 2017

Kari Ayam Ala Mommy


Assalamualaikum anak-anak mommy. Nak masak kari pulak yer? Hihihi. Jom mommy ajar.

Dulu kan...mommy ingat masak kari tu susah. So, jarang sangat la meng'kari'. Baru jer 1-2 tahun ni rajin masak kari. Dah selalu masak ni, baru ler tau senang jer rupanya. Lagipun Ulin & Ilan time kecik-kecik dulu tak pandai makan lagi. Sekarang korang dah besar, dah pandai makan, boleh la mommy masak macam-macam. Arman jer susah nak bagi makan. Takpe, insyaallah...pelan-pelan kita ajar dia makan pelbagai makanan.

Dah...dah...jangan banyak cakap, jom la mommy ajor camaner nak masak kari. Eloknya masa mommy masak kari tu, tengok! Kalau mommy jauh, call. Andaikata mommy dah takde, sini la tempat korang nak refer. Kalau tak tau jugak, tengok youtube. Takpun, pandai-pandai la korang tanya sapa-sapa yang terer meng'kari'. Tanya tukang masak kat kedai mamak pun boleh. Hahahaha



Kari Ayam Ala Mommy
(Untuk 4-5 orang, 1 kali makan)

1/2 ekor ayam -dipotong 8 bahagian
1 kuntum bunga cengkih
1 batang kulit kayu manis
2 biji buah pelaga
1 biji bawang besar -ditumbuk
2 ulas bawang putih -ditumbuk
1 inci halia -ditumbuk
4 tangkai daun kari
3 sdb serbuk kari daging Baba's -campur sedikit air dan jadikan pes
100ml santan pekat -dalam 1/2 kotak kecil
2 biji kentang -setiapnya dibelah 4
1 keping asam gelugur
4 sdb minyak masak
Garam
Kiub ayam -optional


Cara:

1. Panaskan minyak dalam periuk, tumiskan kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga sehingga naik baunya.



2. Masukkan pula bahan tumbuk (bawang besar, bawang putih dan halia), tumis hingga layu dan kekuningan.



3. Kemudian masukkan daun kari dan tumis hingga terbit bau karinya.



4. Kemudian masukkan pes kari. Tuang sedikit air supaya tak hangit. Tumis hingga terbit minyak.





5. Setelah terbit minyak, masukkan ayam dan gaul sebati ayam dalam rempah sehingga ayam sedikit kecut. 



6. Setelah ayam kecut dan sebati dengan rempah kari tadi, tuang air separas ayam. Jangan banyak sangat air nanti kuah cair dan tak rasa karinya. Kalau tak cukup air, boleh tambah kemudian. Biarkan mendidih sehingga ayam separuh atau hampir masak.



7. Setelah ayam hampir masak, masukkan pula kentang dan asam gelugur. Biarkan mendidih lagi hingga kentang cukup lembut. Cuba cucuk dengan garfu untuk test kentang dah empuk atau belum.



8. Setelah kentang cukup lembut, tuang santan dan perisakan dengan garam dan kiub ayam (optional). Biarkan mendidih seketika dan tutup api.



Kalau nak kari yang pekat, lebihkan sikit rempah dan santan pekat. Takpun, kurangkan jer airnya.

Ayam

Ayam Sambal Tomyam

Thursday, March 09, 2017

Ayam Sambal Tomyam


Resepi istimewa ini saya dapat dari cikgu meroti saya. Kalau ada yang selalu sangat buat ayam sambal macam saya, sesekali ubah sikit resepinya tu. Ayam sambal tomyam. Ia ayam sambal dengan perisa tomyam. Sedap sangat. Anak saya yang tak makan pedas pun suka lauk ni tau.

Kalau family atau kawan-kawan nak datang bertandang ke rumah, tak tau nak masak apa yang special, apa kata cuba resepi ni. Ia pastinya memberi satu kelainan dalam hidangan kita. Chewah!! Seriously, tak caya? Cuba buat untuk family sendiri dulu.


Ayam Sambal Tomyam

Rujukan : Puan Roszana Ismail


Bahan:
1/2 ekor ayam -dipotong 10 bahagian
10 ulas bawang kecil -ditumbuk (saya guna 1 biji bawang besar)
4 ulas bawang putih -ditumbuk
1 inci halia -ditumbuk
1 biji bawang besar -dihiris bulat
6 sdb cili kisar
2 sdb perencah tomyam thai -saya pilih jenama Adabi
2 sdb sos cili
2 sdb sos tiram
1 kiub ayam -larutkan dalam 1 cawan air panas
3 batang serai -diketuk
6-7 helai daun limau purut
Garam
Gula
Minyak
Serbuk kunyit



Cara:

1. Panaskan minyak yang banyak dalam kuali. Lumur ayam dengan serbuk kunyit dan garam. Goreng ayam separuh masak. Angkat dan ketepikan.
2. Kurangkan minyak dan tinggalkan dalam 5 sudu besar minyak dalam kuali. Tumis bahan tumbuk, serai dan daun limau purut.
3. Masukkan cili kisar dan tumis sehingga naik minyak.
4. Masukkan perencah tomyam, sos cili dan sos tiram. Tumis seketika dan masukkan ayam yang telah digoreng tadi.
5. Masukkan larutan kiub ayam. Kacau dan perisakan dengan gula dan garam. Hati-hati masukkan garam kerana larutan kiub ayam sudah masin. Saya cuma masukkan gula sahaja.
6. Akhir sekali masukkan bawang besar yang dihiris bulat.
7. Kacau rata dan apabila kuah telah sedikit pekat, bolehlah hidangkan ayam sambal tomyam anda. Siap sudah...

Lauk ni cuma perlu kawan dengan sayur campur goreng dan telur dadar. Cukup menyelerakan!


Like us on Facebook

Flickr Images