Lain-lain

Pulut Kuning Untuk Ulin

Thursday, October 26, 2017


Pulut Kuning

Mommy tak pernah sediakan pulut kuning untuk family kita. Tak pernah cuba buat langsung walaupun suka makan pulut kuning ni. Tapi mommy akhirnya buat jugak sempena Ulin naik Al-Quran hari tu. Niat tu nak buat banyak tapi mampu sediakan 1kg pulut jer. Tak terdaya nak buat banyak. Cukuplah untuk kita menikmatinya bersama-sama. Kebetulan opah dan tok datang, dapatlah merasa jugak air tangan mommy yang tak seberapa ni. Sebahagian kecil pulut kuning tu mommy sebelahkan untuk bagi kepada ustaz dan ustazah di Akademi Darul Abrar, yang mengajar Ulin, Ilan dan Arman mengaji.

Pulut kuning ni kita makan dengan rendang ayam. Mommy pun tak pandai sangat buat rendang. Tapi rasa dia, boleh tahan la. Opah pun puji tau. Hahahaha...Kira puas hati la makan pulut kuning walaupun 1st time buat. Resepi ni mommy belajar dari cikgu meroti mommy, Puan Roszana. Terima kasih ticer, mohon halalkan ilmu yang saya share ni yer.


Pulut Kuning

Kredit : Puan Roszana Ismail


Bahan-bahan :

1kg beras pulut
2 keping asam gelugur
1 sdb serbuk kunyit
2 ½ cawan santan pekat (mommy pakai santan kotak)
½ sdb gula
2 sdt garam
1 helai daun pandan -disimpul
Daun pisang untuk alas pengukus (boleh juga alas dengan kain jaring)


Cara-cara :

1. Cuci beras pulut, lepas tu rendam dalam air bersama asam keping dan serbuk kunyit. Pastikan serbuk kunyit sebati dengan air dan pulut supaya dapat warna kuning yang sekata. Rendam sekurang-kurangnya 3 jam.
2. Cukup jer masa rendam pulut, panaskan pengukus. Tau kan?
3. Alaskan loyang pengukus dengan daun pisang atau kain jaring. Mommy tak alas apa-apa sebab lubang pada pengukus mommy tu kecil jer.
4. Tos air rendaman beras pulut dan buang asam gelugurnya. Tuangkan pulut ke atas loyang. Kalau tak letak alas, tuang perlahan-lahan yer. Daun pandan yang dah disimpul tadi letak jer di celah-celah beras pulut tu. Kukus selama 20 minit.
4. Cukup masa 20 minit, keluarkan beras yang dah jadi pulut tu. Api dapur tu biarkan hidup yer sebab belum habis lagi proses mengukus ni. Hihihi...
5. Campurkan gula dan garam ke dalam santan dalam periuk kecil. Panaskan seketika atas dapur. Jangan sampai mendidih pulak tau. Cukup sekadar naik wap. Tujuannya agar pulut kuning tahan lama dan tak mudah basi.
6. Bila santan dah naik wap, tutup api dan gaulkan dengan pulut tadi. Tuang dan gaul sedikit demi sedikit sampai semua santan sebati dengan pulut. Rehatkan pulut dalam 10 minit.
7. Cukup 10 minit, kukus semula pulut tersebut selama 30 minit. Siap dah pulut kuning kita. Yeay!

Rata dan padatkan dalam mangkuk atau pinggan leper yang lebar untuk dihidangkan.

Pulut yang dah dirata dan dipadatkan dalam mangkuk.

Kudapan

Sukun Goreng

Wednesday, October 25, 2017

Sukun Goreng

Sukun. Jarang sangat kita makan buah ni. Kalau ada jumpa pun selalunya kat gerai pisang goreng. Tapi kita tak beli pun. Hehehe... Kali ni sebab opah bawak. Pun sebab kawan tok bagi. Kat rumah Ipoh mana ada orang nak makan. Jadi opah bawak datang rumah kita. Tapi masa opah dan tok datang tu pun masing-masing busy dengan jadual masing-masing. So, tergolek jer la buah sukun tu kat dapur.

Bila opah dan tok dah balik Ipoh, baru mommy ada peluang goreng sukun tu. Tu pun dah agak masak buahnya. Jadi agak susah nak potong sebab dah lembut sikit. Tapi, bila goreng tu rasa sedap jer makan. Manis dan rasa macam keledek! Korang pun suka makan. Accept Arman la kan. Memang memilih bebenor.

Okay, dalam resepi ni, semua bahan main agak-agak jer. Mommy memang takde sukatan tepat. Yang penting tepung salut untuk goreng tu pekat melekat yer. Kalau cair, memang tak best la makan.

Lapik dengan tisu dapur untuk serap minyak berlebihan.


Sukun Goreng


Bahan-bahan :

Sukun -dipotong nipis
Tepung beras
Secubit garam halus
Sedikit serbuk kunyit -untuk sedikit warna
Air
Minyak untuk menggoreng


Cara-cara :

1. Kupas kulit sukun dan potong sukun nipis-nipis. Ketepikan.
2. Panaskan minyak yang banyak dalam kuali.
3. Dalam mangkuk, campurkan tepung beras, serbuk kunyit dan garam halus. Tuang air sedikit demi sedikit hingga dapat kepekatan adunan yang sesuai.
4. Gaulkan sukun dengan adunan tepung beras tadi hingga semua sukun disaluti tepung.
5. Setelah minyak panas, laraskan kepada api sederhana.
6. Masukkan sukun sekeping demi sekeping ke dalam kuali. Balikkan dan goreng hingga kekuningan.

7. Angkat dan sedia dihidangkan.


Ni sukun yang dah dibelah dua. Konon2 nak simpan separuh. Hurrm..tak sempat. Habis sebijik sekali hadap.

Pastikan adunan pekat macam ni yer. Dan menyaluti sukun sepenuhnya sebelum menggoreng.

Goreng hingga kekuningan.
Untuk lebih menyelerakan, cicah sukun goreng dengan gula merah.

Sayur

Lemak Putih Fucuk Dengan Telur

Tuesday, October 24, 2017

Lemak Putih Fucuk Dengan Telur


Sesekali makan sayur lemak putih sedap jugak kan? Lagi sedap kalau makan dengan ikan goreng garing dan sambal belacan. Perrgghhhh...'merecik' bak kata Wak Doyok. Tu yang makan nasi tak ingat dunia tu. Sedar-sedar dah habis nasi seperiuk. Hahaha

Fucuk ni ada yang kedut, ada yang sekeping-sekeping. Kat tempat kita, mommy jumpa yang sekeping-sekeping tu jer. Mungkin ada la kot yang kedut kat kedai-kedai macam Speedmart tapi sebab kita jarang ke Speedmart kan. Opah suka beli yang kedut. Mommy rasa yang kedut tu kena rendam dulu sebelum kita nak masak sebab tebal. Yang sekeping-sekeping ni tak payah sebab nipis. Mommy basuh sikit dan terus masuk jer dalam periuk. Tapi, memang yang kedut tu lebih sedap dikunyah!

Okeh, jom tengok bahan apa kome kena ada kalau nak masak menu ni. Tak susah yer. Insyaallah resepi yang senang-senang dan simple-simple jer mommy ajar kome.


Lemak Putih Fucuk Dengan Telur


Bahan-bahan :

1 paket fucuk -dipotong pendek kepada beberapa bahagian
1 biji bawang merah -dihiris
1 ulas bawang putih -dihiris
1 sdb udang kering/ikan bilis -direndam sebentar
1 batang lobak merah saiz sederhana -dipotong ikut citarasa
1 tangkai cili merah -dihiris
2 biji telur -dipecahkan dalam mangkuk
1/2 cawan santan pekat
1 cawan air
Sedikit suun -direndam sebentar
Garam secukup rasa


Cara-cara :

1. Dalam periuk, panaskan air. Masukkan bawang putih, bawang merah dan udang kering. Biarkan mendidih.
2. Masukkan lobak merah, cili merah, fucuk dan suun. Kacau sebentar. Api sederhana jer yer.
3. Apabila lobak merah telah separa lembut, masukkan santan. Kacau sebentar. Air dan santan tu adjust sendiri yer. Nak banyak kuah ker, nak kuah pekat ker, cair ker.
4. Masukkan pula telur yang telah dipecahkan dan sentiasa jirus kuah ke atas telur hingga telur masak.
5. Perisakan dengan garam, kacau lagi. Ok, siap untuk dihidangkan.

Jangan lupa makan dengan nasi putih, ikan yang digoreng garing dan sambal belacan meletop yer!

Like us on Facebook

Flickr Images