Kek

Kek Batik Biskut Marie

Friday, May 05, 2017

Kek Batik Biskut Marie


Kek batik kegemaran anak-anak Mommy! Yeay....boleh buat untuk diri sendiri dah kan. 
Dulu masa Mommy masih kanak-kanak macam Ulin Ilan Arman Soffiya, opah Mommy selalu jugak buat kek batik untuk kudap-kudap.  Opah Mommy ni kiranya Onyang korang la. Masa kecil, selepas Onyang pencen, masa Opah kerja, waktu siang Mommy duduk dengan Onyang sampai darjah 6. Masa tu la Onyang rajin buat kek batik. Tapi Onyang korang dah arwah sejak Mommy tingkatan 2 lagi akibat penyakit buah pinggang. Sebelah daripada buah pinggang arwah telah dibuang tak berapa lama sebelum meninggal. Tapi Opah kata, Onyang tak tahu pun yang buah pinggangnya cuma tinggal sebelah.

Masa tu Mommy tinggal di asrama. Satu hari kawan Mommy, jerit panggil nama Mommy. Dia kata abah Mommy (Tok) datang pakai baju Melayu macam nak pergi kenduri kahwin. Mommy tak syak apa-apa yang pelik. Rupanya Onyang dah meninggal. Jadi, Mommy siap-siap dan ikut Tok balik untuk ziarah arwah Onyang.

Mommy masih ingat rasa kek tu. Onyang buat kak batik tak guna butter dan Onyang masukkan sedikit kacang tanah yang ditumbuk dalam resepinya. Yang Mommy ajar ni, resepinya dari cikgu roti Mommy. Lain sedikit dengan yang Onyang buat. Jom tengok resepi yang mudah ni.


Kek Batik Biskut Marie

Kredit : Puan Roszana

Bahan :

1 paket biskut Marie perisa original
1 tin susu pekat -Mommy guna F&N
250 gram butter -Mommy guna Buttercup
2 sdb serbuk koko -Mommy guna Van Houthen
2 cawan milo -pastikan yang asli dan BUKAN yang instant


Cara :

1. Patah-patahkan biskut Marie kepada 4-5 bahagian. Habiskan sebungkus dan ketepikan dahulu. Jangan nak curi makan sekeping pun yer. Hehe



2. Dalam kuali dengan api kecil, cairkan butter.



3. Setelah butter cair sepenuhnya, tuang 1 tin susu pekat dan kacau sebati.



4. Masukkan milo dan serbuk koko sedikit demi sedikit sambil kacau adunan sampai nampak hampir pekat. Perlu terus kacau untuk elakkan adunan berketul-ketul.



5. Setelah adunan likat dan pekat, masukkan kesemua biskut marie yang telah dipatahkan tadi. Gaul rata dan boleh tutup api.




6. Masukkan dalam bekas yang telah dilapik dengan baking paper dan tekan-tekan sehingga padat. Mommy guna baking paper jugak, tapi Mommy gulung dan padatkan. Onyang dulu guna plastik.




7. Simpan dalam peti sejuk bahagian chiller selama 3 jam. Lepas tu bolehlah dipotong dan dinikmati bersama keluarga. Jangan makan sorang-sorang yer. Adik-beradik kena kongsi ok.

Perlu dimakan sebaik dipotong untuk elak berlengas.


Boleh tambah kacang tanah sangai yang ditumbuk untuk tektur dan extra rasa.

Sayur

Kacang Buncis Goreng Dengan Hati Ayam

Thursday, May 04, 2017

Kaang Buncis Goreng Dengan Hati Ayam


Ini adalah menu yang sangat selalu Mommy buat. Sebab senang dan sedap selain ia sangat kena dengan apa jua lauk-pauk. Masa ni Ilan dah pandai makan hati dan pedal ayam. Tapi sikit-sikit jer cukup la yer. Sebab masa Mommy kecik-kecik dulu Tok pun tak bagi Mommy makan pedal dan hati ayam banyak-banyak. Alasan Tok, budak-budak tak boleh makan.

Sesetengah orang selalu rebus dahulu hati dan pedal ayam ni supaya tak hancur. Tapi Mommy lebih suka tumis terus masa nak masak sayur tu. Tak hancur pun hati ayam tu. Takat jadi serbuk sikit-sikit tu ok apa. Mencantikkan hidangan lagi ada ler.

So, kalau dah habis idea sangat nak masak sayur apa, boleh masak camni. Tak payah nak pening kepala la sangat yer. Mudah pun mudah...sangat.

Perhatikan saiz kacang buncis dengan hati ayam. Potong macam tu yer.


Kacang Buncis Goreng Dengan Hati Ayam


Bahan :

Kacang buncis -dipotong serong
Hati ayam - dipotong kecil
Pedal ayam -dihiris separa nipis
1 biji bawang merah saiz sederhana -dihiris
2 ulas bawang putih -dihiris
1 sdb sos tiram
1/2 sdt garam halus
3 sdb minyak masak
Sedikit air


Cara :

1. Panaskan minyak dalam kuali.
2. Tumis bawang merah dan bawang putih hingga layu.
3. Masukkan pedal ayam terlebih dahulu. Goreng hingga separuh masak dan kemudian baru masukkan hati ayam. Goreng hingga pedal dan hati ayam masak.
4. Masukkan pula kacang buncis dan gaul. Masukkan sedikit air supaya dapat mempercepatkan proses masak.
5. Masukkan sos tiram dan garam.
6. Gaul sehingga warna kacang buncis bertukar menjadi warna hijau yang cantik. Siap!

Cukup la untuk sekali makan yer.


Boleh juga tumis sedikit udang kering untuk lebih tektur dan rasa.

Ayam

Ayam Panggang ala Kenny Rogers

Thursday, May 04, 2017

Ayam Panggang ala Kenny Rogers


Ngantuk giler time nak taip post ni. Mata tak boleh bukak. Arman pulak tengah baca buku cerita The Hungry Shark. Tak sampai hati nak suruh berhenti baca sedangkan mata Mommy dah banyak kali tutup dari buka. Penyudahnya Mommy cakap kat Arman yang Mommy ngantuk. Dia pun ngantuk rupanya. Simpan buku dan Mommy terus tertidur. Memandangkan Soffiya pun tidur, so ok la kan.

Kena try resepi ni...memang sedap.


Dah dapat tidur dalam setengah jam, Mommy terjaga, main-main dengan Soffiya kejap yang kebetulan pun dah bangun. Now baru sambung post ni. Walaupun masih blur-blur sebab baru bangun tidur kan.

Baiklah...hari ni Mommy nak bagi menu baru. Yang Mommy rujuk dari banyak blog antaranya Cik Epal. Tapi Mommy edit ikut cara Mommy la yer. Pada hari Mommy buat menu ni, Mommy guna ayam yang dah sedia dipotong. Sebab itu jer yang ada dalam peti ais kan. Haha...senang sikit. Tapi versi yang Mommy buat ni macam ada kuah la. So, tak perlu nak buat kuah lain kalau nak makan dengan nasi putih. Seriously sedap ayam ni. Daddy pun suka.

Apa beza kiri dan kanan? Hehehehehe


Ayam Panggang ala Kenny Rogers

Rujukan : Cik Epal


Bahan :

1 ekor ayam
Sedikit air untuk kisar bahan perap
Sedikit butter/minyak


Bahan perap :

3 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia
3 sdb sos lada hitam
1 sdb lada hitam kasar
2 sdb madu
1 ketul kiub ayam -Mommy guna brand Maggi
2 sdb gula
2 sdb mixed herbs -boleh ganti dengan parsley atau oregano
1 1/2 sdt garam halus

Perap dulu yer.



Cara :

1. Bersihkan ayam dan tos. Kalau ikut resepi asal, ayam tidak perlu dipotong. Tapi Mommy pakai ayam yang dah siap potong jer.
2. Kisar semua bahan perap dengan sedikit air. Mulakan dengan 2 sudu air jer. Kalau tersekat-sekat, tambah lagi sedikit hingga proses mengisar tidak tersekat-sekat. Kalau nak kuah, masukkanlah 1/4 cawan air terus.
3. Kemudian, lumur bahan perap ke seluruh ayam termasuk bahagian dalam ayam. 
4. Simpan ayam dalam peti sejuk (bahagian chiller yer) dan perap sekurang-kurangnya selama 2 jam.
5. Setelah diperap, panaskan oven 180 C selama 15 minit.
6. Keluarkan ayam yang diperap tadi dari peti sejuk. Sapu butter ke atas ayam. Mommy spray jer minyak, senang.
7. Bakar dalam suhu 180 C selama lebih kurang 1 jam atau sehingga ayam masak. Suhu tu ikut oven masing-masing yer. Kena testing-testing la.
8. Dah siap, boleh makan dengan nasi atau ratah jer.

Tektur ayam yang lembut dan tidak kering.


Kalau makan dengan nasi putih panas-panas pun sedap. Tak payah kuah dah.

Ayam

Sup Ayam Paling Senang

Wednesday, May 03, 2017

Sup Ayam


Boring petang-petang macam ni sambil tunggu Daddy balik kerja, Mommy selak album lama dalam laptop Mommy ni. Album dari blog Masak-Masak yang lama dulu. Terjumpa gambar sup ayam. Ingat nak share jugaklah. Mommy buat sup ayam tak pakai rempah. Senang sangat nak buat. Opah ajar semua yang senang-senang jer kat Mommy. Yang penting Mommy boleh masak untuk keluarga kecil kita. Kalau Opah start dengan resepi yang detail, mungkin Mommy akan hilang minat nak masak. Mungkin la kan. Kemudian nanti pandai-pandai la belajar sendiri. So, anak-anak Mommy pun, belajar yang senang-senang jer dulu. 

Sup Mommy walaupun tanpa rempah sup, atau sup bunjut, sedap tau. Kalau dah takde idea sangat tu...buat jer sup ayam untuk makan.


Sup Ayam Paling Simple


Bahan:

1/2 ekor ayam -potong kepada 6-8 bahagian
1 biji kentang saiz besar -dipotong 8 bahagian
1 biji lobak merah -dipotong saiz seinci dan dibelah 8
1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
1 biji bawang besar -dihiris
3 ulas bawang putih -dihiris
1 inci halia -dihiris
3 biji cili padi -diketuk
1 keping asam gelugur
1 ketul kiub pati ayam Maggi
4 sdb minyak masak
Garam
Air


Cara:

1. Sekalikan bahan hiris iaitu bawang besar, bawang putih dan halia. Tumbuk separa lumat dan ketepikan.
2. Panaskan minyak dalam periuk.
3. Tumis kulit kayu manis dan bunga lawang sehingga naik bau.
4. Kemudian masukkan bahan tumbuk, gaul-gaul dalam periuk dan tumis hingga warnanya bertukar kekuningan.
5. Masukkan air secukupnya, tutup periuk dan biar mendidih.
6. Masukkan ayam dan pastikan ayam tenggelam. Kalau tak cukup air, tambah lagi ikut selera masing-masing. Kacau biar sekata dan tutup semula periuk.
7. Masukkan cili padi dan asam keping. Biarkan mendidih sehingga ayam separa empuk.
8. Masukkan kentang, lobak merah, asam gelugur, cili padi dan kiub pati ayam Maggi.
9. Biarkan mendidih sehingga ayam, kentang dan lobak merah empuk. Tambah garam secukup rasa dan bolehlah dihidang panas-panas.

Tabur daun sup daun bawang dan bawang goreng. Simple jer kan?

Like us on Facebook

Flickr Images