Seafood

Sambal Sotong Dengan Petai

Friday, October 20, 2017

Sambal Sotong Dengan Petai


Jumaat lepas mommy, daddy ngan Soffiya pergi pasar tani. Masa tu korang pergi ngaji. So, ada sejam untuk kami beli barang basah. Dapat la daging, kepala ikan merah, udang, sotong, ikan bilis sikit dan udang kering sikit. Tu pun dah seratus lebih yer anak-anak. Ingat murah ker nak makan sedap-sedap? Sebab tu kita dok makan ayam jer hari-hari. Sebab ayam murah kat sini.

Disebabkan dah muak makan ayam, mommy pun dengan rajinnya blend cili (untuk dibuat stok cili kisar) dan decide masak sambal sotong. Ada petai sikit tu, mommy masukkan la sekali dalam menu kita kali ni. Jom masak.

Daddy makan bertambah-tambah hokay!!!! Habes 4 kepul nasi lemak kita semua tibai. Kikikiki


Sambal Sotong Dengan Petai


Bahan-bahan :

500 gram sotong basah -dipotong bulat-bulat
1 mangkuk kecil cili kisar (rujuk resepi "cili kisar" dalam blog ni yer)
1/2 sdt pes asam jawa extra
1 sdb sos tiram
2 sdb gula
4 sdb minyak masak
Isi petai
Garam secukup rasa
Sedikit air


Cara-cara :

1. Bersihkan sotong : buang kulit, cabut tulang, buang dakwat, mata dan giginya. Potong bulat-bulat dalam 1cm tebal. Ketepikan dahulu.
2. Dalam kuali, panaskan minyak dan tumis cili kisar sehingga cukup garing. Jangan sampai hangit pulak. Kalau nampak macam nak hangit tu, masukkan sedikit air. Sikit jer tau dalam 2-3 sudu jer. Sambil-sambil tu kacau la sambal tu. Jangan dok diam jer.
3. Masukkan sotong, sos tiram dan pes asam jawa extra. Kacau sebati. Biar sotong masak dengan sambal.
4. Sotong akan mengeluarkan air yang mana ia akan jadi kuah kepada masakan kita ni. Masukkan petai dan biar petai masak bersama sotong.
5. Kalau rasa kuah yang terhasil tu tak cukup, tambah la sikit lagi air. Kalau mommy, dah cukup dah ni. Masuk air lagi kang tak sedap pulak sambal kita ni.
6. Perisakan dengan garam, kacau sebati.
7. Setelah kuah mendidih untuk kesekian kalinya, tutup api & siap untuk dihidang.

Sangat sedap dimakan dengan nasi lemak!!!


Tambah bawang besar dipotong bulat untuk mencantikkan lagi masakan.

Seafood

Gulai Lemak Cili Api Udang Dengan Remunggai

Friday, October 20, 2017

Gulai Lemak Cili Api Udang Dengan Remunggai


Jeng jeng jeng....haaa....remunggai? Apa tu? Tak pernah makan kan? Mommy selalu makan masa kecil-kecil dulu. Opah mommy (moyang kepada Ulin, Ilan, Arman & Soffiya) selalu masak remunggai. Arwah suka buat kari remunggai. Sedap wooo....layan jer kalau makan remunggai. Sayur ni orang Bangla selalu beli. Kalau pergi pasar malam, diorang la yang selalu ambil sayur ni.

Remunggai ni hari tu opah bawak masa datang rumah kita. Ada dalam 4 batang jer pun. Tak banyak, tapi cukup la untuk sekali makan. Yang mana Ulin & daddy pun layan makan rupanya. Baguslah camtu. Ada la 1 jenis sayur lagi yang boleh masuk dalam menu harian kita.

30 ekor tak cukup tau tak sebenornya untuk makan kita 6 beranak.


Gulai Lemak Cili Api Udang Dengan Remunggai


Bahan-bahan :

30 ekor udang saiz sederhana
1 cawan santan pekat (mommy pakai santan kotak kecil)
2 batang serai -diketuk
4 batang remunggai
15 biji cili padi -ditumbuk halus
2 inci kunyit hidup -ditumbuk halus
1 tangkai cili merah -dihiris nipis
1 cawan air
Garam secukup rasa



Cara-cara :

1. Kikis kulit remunggai yang keras. Tak perlu kikis keterlaluan yer. Lepas tu potong dengan ukuran dua inci-dua inci (lebih kurang). Ketepikan.
2. Bersihkan udang. Mommy buang kaki dan bahagian tajam pada ekor (guna la gunting), kulit di separuh badan bahagian hadapan, kulit di kepala dan janggutnya. Bahagian otak pada udang kalau boleh ada, lagi sedap. Tapi tak elok makan banyak kata orang. Dah bersih, kita ketepikan dulu.
3. Dalam periuk, masukkan air (ikut citarasa masing-masing), serai, cili padi dan kunyit hidup. Masak sehingga mendidih.
4. Masukkan remunggai dan biarkan sehingga remunggai separuh lembut. Ni kena try picit dengan jari la yer. Jangan celup tangan dalam periuk, menggelupor kome. Cucuk-cucuk guna garfu pun boleh.
5. Lepas tu masukkan udang dan cili merah.
6. Tengok udang tu dah nak masak, masukkan santan mengikut citarasa masing-masing juga. Ikut korang nak gulai lemak tu pekat atau lemak macam yang korang suka.
7. Sentiasa kacau gulai tu supaya tak pecah minyak sampailah ia mendidih. Kemudian masukkan garam secukup rasa.
8. Nampak udang dah masak, bolehlah dihidangkan.

Tadaaa....makan remunggai yang layan tu. Sebab kita gigit & tarik isi dia. Yang kulit tu kita buang macam makan tebu.


Boleh gantikan garam dengan kiub pati ikan bilis untuk rasa yang lebih umph! Tak percaya? Cuba lah.

Kuih-muih

Tepung Talam Gula Merah

Thursday, October 19, 2017

Kuih Talam Gula Merah


Yes yes yes!!! Akhirnya tercapai hasrat mommy nak buat kuih tepung talam ni. Dah lama teringin tapi tak jumpa pulak orang jual kat sini. Mungkin ada la tapi tak muncul plak diorg. Takpe, tu tak penting pun. At least lepas ni kita ada menu lain untuk bawak pergi kenduri rumah jiran kan!

Okeh, mommy tau Arman & Ilan memang suka kuih ni. Tak la suka sangat tapi boleh makan la. Tak menolak. Daddy pun suka. Ulin? Macam tak suka sangat kan? Hahahaha... As usual mommy ambil resepi dari buku 1 Hari 1 Resepi oleh Chef Hanieliza. Resepi dalam tu semua simple & insyaallah senang.

Nampak jer comot, tapi sedap tau!!!

Kuih Talam Gula Merah

Rujukan : Buku 'Resepi Istimewa Chef Hanieliza'


Bahan-bahan :

Lapisan bawah (gula merah)

1 cawan gula merah
1/2 cawan gula pasir -kurangkan jika tak suka manis sangat
5 cawan air
2 cawan tepung gandum
2 sdb tepung ubi
2 helai daun pandan (disimpul)
1/2 sdt garam (mommy guna garam halus)


Lapisan atas (tepung beras)

3 cawan santan pekat -dari 1/2 biji kelapa (mommy pakai santan kotak jer)
1 cawan tepung beras
1 sdt garam (mommy guna garam halus)



Cara-cara :


Lapisan bawah (gula merah) :

1. Masak gula merah, gula pasir, air & daun pandan sehingga mendidih. Kemudian tapis air gula tersebut dan sejukkan dahulu.
2. Panaskan periuk kukus & sapu sedikit minyak masak pada loyang. Sikit jer yer.
3. Setelah air gula sejuk, campurkan semua bahan lapisan bawah & kacau sebati. Kemudian tapiskan adunan gula merah ke dalam periuk non-stick dan masak seketika hingga sedikit pekat.
4. Tuang adunan gula merah ke dalam loyang yang telah disapu minyak tadi dan kukus selama 20 minit.
5. Selepas 20 minit, pastikan permukaan kuih tidak berair. Jika berair, sejukkan sebentar sehingga air tersejat atau keringkan dengan tisu dapur.
6. Kemudian cakar-cakar permukaan lapisan gula merah dengan menggunakan garpu.


Lapisan atas (tepung beras) :

1. Sebatikan semua bahan lapisan atas dan tapiskan. Kemudian masak sebentar adunan tepung beras dengan api kecil sehingga naik wap sahaja.
2. Tuang perlahan-lahan adunan tepung ke atas lapisan gula merah yang telah dicakar dengan garpu tadi.
3. Kukus selama 20 minit atau sehingga masak.
4. Sejukkan terlebih dahulu sebelum dipotong dan dihidangkan.

Tak sabar nak makan, potong sebelum betul2 sejuk. Comot jadinya.


Jika dimasak pagi, seeloknya dipotong & dihidangkan pada waktu petang.
Jika dimasak malam, sesuai dipotong & dihidangkan esok paginya.

Like us on Facebook

Flickr Images