Lauk-pauk

Sotong Bakar Berempah

Thursday, August 02, 2018

Sotong Bakar Berempah

Assalamualaikum,


Lama sangat dah mommy tak update blog rupanya. Ya Allah...almaklum sibuk dengan kerja rumah seperti masak, basuh+sidai+lipat+iron baju. Tapi daddy kata mommy lebih banyak masa dengan handphone. Mungkin juga sebab mommy lebih kerap memuatnaik gambar2 makanan di facebook. Selain itu mommy menonton drama kegemaran di tv. Dan yang paling tepat masa mommy banyak di dapur sebenarnya. Takpe lah...mana2 la asalkan perut korang kenyang dengan makanan yang mommy sediakan.

Hari ni mommy rasa macam agak sendu sikit. Mungkin hari ni boleh kata hari malas mommy la kot. Nak ke dapur untuk masak makan malam pun malas. Tapi kena masak juga kan? Sebab daddy kemungkinan besar balik lambat. So, tentu la balik2 lapar dan nak makan. Lain la kalau daddy balik awal, boleh la ajak dinner di luar. Tapi bahaya jugak sebab sekarang ni musim HFMD. Jadi kita akan lebih terdedah dengan kuman jika berada di tempat awam. Cukuplah 2 kali Ulin kena masa umur 1 & 2 tahun dulu sampaikan mommy pun terjangkit sama. Semoga anak2 mommy sihat sejahtera dan dijauhi dari penyakit dan perkara2 yang tidak diingini.

Jenuh juga nak tahu mana resepi yang belum mommy upload ke blog. Huhu...tu la...tak konsisten update di sini. Sebab mommy sedang maintain page Masak-Masak di FB juga yang telah mencapai 4000 follower. Alhamdulillah....tak sangka ramai yang follow walaupun mommy selalu letak gambar jer.

Ok, kali ni mommy nak kongsi resepi sotong bakar berempah. Sotong ni sedap dimakan bersama air asam. Jom tengok resepi.


Sotong Bakar Berempah

Resepi asal : kellazule.blogspot.my

Bahan :

4 ekor sotong saiz XXL
2 batang serai *
1 inci halia *
1 ulas bawang putih *
1 biji bawang merah saiz sederhana *
1 sudu makan serbuk kari *
1 sudu teh serbuk kunyit *
3 sudu makan cili kisar
Sedikit garam


Cara :

1. Kisar semua bahan yang bertanda * dan gaul bersama cili kisar supaya menjadi pes yang baru.
2. Lumurkan sotong dengan pes tersebut. Perap sotong selama 30 minit di dalam peti sejuk.
3. Panaskan sesudu minyak di atas pemanggang ajaib/kuali leper.
4. Bakar sotong sehingga masak dan warna pes menjadi gelap.
5. Sedia untuk dihidangkan bersama air asam jawa.


Setelah dilumur, perap dalam peti sejuk.

Bakar atas pemanggang ajaib.

Dah siap bakar.



Sotong bersama air asam jawa sahaja sudah cukup untuk membuka selera tau!

Seafood

Masak Lemak Cili Api Sotong Dengan Buncis Dan Tauhu

Friday, December 08, 2017

Masak Lemak Cili Api Sotong Dengan Buncis Dan Tauhu

Cerita sikit pasal Ilan dan Arman. Arman dah boleh pakai seluar dah di hari ke-12 berkhatan. Ilan masih tak berani lagi. Arman dah berani nak berlari-lari. Tapi mommy ingatkan supaya jangan lasak sangat lagi. Mommy takde pengalaman jaga orang sunat, so mommy minta dia berhati-hati jer la.

Ilan pula memang jenis penakut. Dah elok pakai seluar pagi semalam, dia tukar pakai kain semula. Tak selesa katanya. Mommy kata kena practice jugak la sebab esok lusa ni kita nak pergi kenduri. Takkan dia nak berkain pulak pergi kenduri kan? Tak memasal tular lak kang. Tular tu viral la. Masa ni, penggunaan tular masih baru. Sebab selama ni orang guna perkataan 'viral' jer. Hihihi

Nampak tak sotong, kacang buncis dan tauhu??? Nampak???

Ok, kita masuk cerita sotong pula. Selalunya bila masak sotong, mommy akan hiris sotong tu jadi macam cincin. Tapi kali ni macam malas pulak nak potong. Kebetulan sotongnya tak berapa besar. Saiz kecil-kecil jer. So, mommy decided untuk biarkan sotong tu bulat gitu jer.

Kerajinan yang tak berapa nak ada tu mendatangkan idea untuk masukkan buncis dan tauhu yang berbaki. Dah lama daddy beli tauhu tu so kena perabeh. Kalau tak, rugi jer terbuang. So jadi la menu hari ni. Lauk dan sayur bergabung sama. Memang selalu buat kan. Haha

Sotong berenang di lautan lemak kuning. Hahaha


Masak Lemak Cili Api Sotong Dengan Buncis Dan Tauhu


Bahan-bahan :

15 ekor sotong hidup
2 inci kunyit hidup -ditumbuk
10 tangkai cili padi -ditumbuk
1 biji bawang merah saiz sederhana -ditumbuk
2 ulas bawang putih -ditumbuk
2 batang serai -diketuk
1 keping asam gelugur
¾ cawan santan pekat -ikut citarasa
1 cawan air -ikut citarasa
15 tangkai kacang buncis -dipotong serong
2 ketul tauhu -dipotong 6
1 ketul kiub ikan bilis -jika suka
Sedikit garam
Sedikit gula -jika perlu


Cara-cara :

1. Bersihkan sotong terlebih dahulu. Buang kulit, tulang, dakwat, mata dan giginya. Isi dalam badan sotong pun korek keluar yer. Kadang-kadang dalam badan sotong tu ada ikan atau sotong kecil, malah ada pasir juga. Jadi, pastikan dikorek kecuali kalau ada telur sotong, yang tu boleh disimpan jer dalam badan sotong. Bilas bersih.
2. Dalam kuali, masukkan air, bahan tumbuk dan serai. Biarkan mendidih.
3. Masukkan sotong dan asam gelugur. Kacau seketika.
4. Bila sotong mula mengembung, masukkan kacang buncis dan tauhu.
5. Tuang santan mengikut kesukaan. Jika mahu kuah yang lemak, lebihkan santan. Jika mahu tambah air selepas masukkan santan, lebih elok gunakan air masak. Kacau.
6. Masukkan kiub pati ikan bilis. Jika perlu, masukkan juga sedikit garam dan gula untuk dapatkan rasa yang diingini.
7. Biarkan mendidih sebentar, tutup api dan hidangkan.

Makan dengan nasi putih, sekali dengan ikan goreng cicah sambal kicap. Fuhhh, meletup dalam mulut.

Boleh tambah cili merah atau lobak merah untuk kesan warna yang lebih menarik.

Seafood

Sambal Sotong Dengan Petai

Friday, October 20, 2017

Sambal Sotong Dengan Petai


Jumaat lepas mommy, daddy ngan Soffiya pergi pasar tani. Masa tu korang pergi ngaji. So, ada sejam untuk kami beli barang basah. Dapat la daging, kepala ikan merah, udang, sotong, ikan bilis sikit dan udang kering sikit. Tu pun dah seratus lebih yer anak-anak. Ingat murah ker nak makan sedap-sedap? Sebab tu kita dok makan ayam jer hari-hari. Sebab ayam murah kat sini.

Disebabkan dah muak makan ayam, mommy pun dengan rajinnya blend cili (untuk dibuat stok cili kisar) dan decide masak sambal sotong. Ada petai sikit tu, mommy masukkan la sekali dalam menu kita kali ni. Jom masak.

Daddy makan bertambah-tambah hokay!!!! Habes 4 kepul nasi lemak kita semua tibai. Kikikiki


Sambal Sotong Dengan Petai


Bahan-bahan :

500 gram sotong basah -dipotong bulat-bulat
1 mangkuk kecil cili kisar (rujuk resepi "cili kisar" dalam blog ni yer)
1/2 sdt pes asam jawa extra
1 sdb sos tiram
2 sdb gula
4 sdb minyak masak
Isi petai
Garam secukup rasa
Sedikit air


Cara-cara :

1. Bersihkan sotong : buang kulit, cabut tulang, buang dakwat, mata dan giginya. Potong bulat-bulat dalam 1cm tebal. Ketepikan dahulu.
2. Dalam kuali, panaskan minyak dan tumis cili kisar sehingga cukup garing. Jangan sampai hangit pulak. Kalau nampak macam nak hangit tu, masukkan sedikit air. Sikit jer tau dalam 2-3 sudu jer. Sambil-sambil tu kacau la sambal tu. Jangan dok diam jer.
3. Masukkan sotong, sos tiram dan pes asam jawa extra. Kacau sebati. Biar sotong masak dengan sambal.
4. Sotong akan mengeluarkan air yang mana ia akan jadi kuah kepada masakan kita ni. Masukkan petai dan biar petai masak bersama sotong.
5. Kalau rasa kuah yang terhasil tu tak cukup, tambah la sikit lagi air. Kalau mommy, dah cukup dah ni. Masuk air lagi kang tak sedap pulak sambal kita ni.
6. Perisakan dengan garam, kacau sebati.
7. Setelah kuah mendidih untuk kesekian kalinya, tutup api & siap untuk dihidang.

Sangat sedap dimakan dengan nasi lemak!!!


Tambah bawang besar dipotong bulat untuk mencantikkan lagi masakan.

Seafood

Gulai Lemak Cili Api Udang Dengan Remunggai

Friday, October 20, 2017

Gulai Lemak Cili Api Udang Dengan Remunggai


Jeng jeng jeng....haaa....remunggai? Apa tu? Tak pernah makan kan? Mommy selalu makan masa kecil-kecil dulu. Opah mommy (moyang kepada Ulin, Ilan, Arman & Soffiya) selalu masak remunggai. Arwah suka buat kari remunggai. Sedap wooo....layan jer kalau makan remunggai. Sayur ni orang Bangla selalu beli. Kalau pergi pasar malam, diorang la yang selalu ambil sayur ni.

Remunggai ni hari tu opah bawak masa datang rumah kita. Ada dalam 4 batang jer pun. Tak banyak, tapi cukup la untuk sekali makan. Yang mana Ulin & daddy pun layan makan rupanya. Baguslah camtu. Ada la 1 jenis sayur lagi yang boleh masuk dalam menu harian kita.

30 ekor tak cukup tau tak sebenornya untuk makan kita 6 beranak.


Gulai Lemak Cili Api Udang Dengan Remunggai


Bahan-bahan :

30 ekor udang saiz sederhana
1 cawan santan pekat (mommy pakai santan kotak kecil)
2 batang serai -diketuk
4 batang remunggai
15 biji cili padi -ditumbuk halus
2 inci kunyit hidup -ditumbuk halus
1 tangkai cili merah -dihiris nipis
1 cawan air
Garam secukup rasa



Cara-cara :

1. Kikis kulit remunggai yang keras. Tak perlu kikis keterlaluan yer. Lepas tu potong dengan ukuran dua inci-dua inci (lebih kurang). Ketepikan.
2. Bersihkan udang. Mommy buang kaki dan bahagian tajam pada ekor (guna la gunting), kulit di separuh badan bahagian hadapan, kulit di kepala dan janggutnya. Bahagian otak pada udang kalau boleh ada, lagi sedap. Tapi tak elok makan banyak kata orang. Dah bersih, kita ketepikan dulu.
3. Dalam periuk, masukkan air (ikut citarasa masing-masing), serai, cili padi dan kunyit hidup. Masak sehingga mendidih.
4. Masukkan remunggai dan biarkan sehingga remunggai separuh lembut. Ni kena try picit dengan jari la yer. Jangan celup tangan dalam periuk, menggelupor kome. Cucuk-cucuk guna garfu pun boleh.
5. Lepas tu masukkan udang dan cili merah.
6. Tengok udang tu dah nak masak, masukkan santan mengikut citarasa masing-masing juga. Ikut korang nak gulai lemak tu pekat atau lemak macam yang korang suka.
7. Sentiasa kacau gulai tu supaya tak pecah minyak sampailah ia mendidih. Kemudian masukkan garam secukup rasa.
8. Nampak udang dah masak, bolehlah dihidangkan.

Tadaaa....makan remunggai yang layan tu. Sebab kita gigit & tarik isi dia. Yang kulit tu kita buang macam makan tebu.


Boleh gantikan garam dengan kiub pati ikan bilis untuk rasa yang lebih umph! Tak percaya? Cuba lah.

Nenas

Masak Lemak Udang Dengan Nenas

Sunday, April 09, 2017

Masak Lemak Udang Dengan Nenas


Lauk ni memang sangat merenjeskan air liur. Dah la udang, dengan nenasnya lagi. Adusss, masih terasa-rasa lagi menghirup kuahnya tu tau. Udang yang kita beli kat pasar tani tu Mommy masih simpan. Plan A nak buat kari udang dengan pisang muda. Tapi kedai belakang Petronas yang selalu kita pergi ada pisang masak jer masa Mommy pergi tu. So Mommy tukar ke plan B, buat masak lemak udang dengan nenas.

Berebut-rebut kami makan tau! Sampai ada yang komplen dia dapat 5 ekor udang jer! Hihihi


Hari Selasa selepas hantar Arman ke tadika, Mommy dah pergi kedai tu nak cari nenas. Tapi dah habis. Aiseh...terpaksa tangguhkan masak menu ni. Hari Khamis, Mommy pergi lagi. Nasib baik ada. Mommy pun tak pernah beli nenas. Mommy pun pilih la nenas yang warna kulitnya hijau hijau oren. Cuba la cium bau nenas tu sikit. Kalau ada bau manis sikit tu ok la. Jangan pilih yang bau nak busuk pulak. Kalau dapat nenas madu lagi sedap. Aiseh....tingat lagi lauk ni.

Bila Mommy dah siap masak, ambil gambar bagai, Mommy upload dalam Facebook dan tag Daddy dengan pesanan suruh balik awal, risau lauk habis. Tapi rupanya Daddy tak tengok FB. Officemate Daddy yang suruh balik awal sebab Mommy masak lauk sedap. Dia tolong bagitahu Daddy. Hihihi...lupa pulak siapa nama kawan Daddy tu.

Merecik.


Malam tu kita dinner lauk yang special lagi lazat ni bertemankan nasi putih dan telur dadar jer. Mommy memang sengaja tak masak sayur sebab confirm akan dipandang sepi. Silap-silap tak dipandang langsung. Lagipun dah ada buah nenas kan. Kira ok la tu. Ahakss! Masa makan...masing-masing senyap, fokus pada makanan. Makan cepat-cepat sebab semua nak rebut udang. Ulin la cedok slow-slow, sekor-sekor kenapa? Kan udang dalam pinggan dah kena kidnap dengan Daddy! Hahahaha....Pastu Ulin complaint yang Ulin cuma dapat 5 ekor udang jer. Hadeih...takpe la...next time kita beli udang 4 dulang kata Daddy. Kenduri la kita berenam kat umah makan udang sampai kenyang.

Eh, panjang pulak Mommy sembang untuk lauk ni kan. Sebab Mommy rasa sangat happy walaupun kali pertama masak, ianya menjadi. Kali kedua dan seterusnya, Mommy kena pastikan ia sama juga. Okeh...jom kita tengok bahan dan cara masak yer. Senang jer. Cuma kena terer sikit nak imbang rasa kalau dah terpedas.


Masak Lemak Udang Dengan Nenas


1/2 kg udang saiz sederhana besar (dalam 30 ekor)
1/2 biji nenas (kalau saiz kecil, guna sebiji yer)
4 biji cili padi -ditumbuk (ni pun pedas dah)
1 biji bawang besar -ditumbuk
3 ulas bawang putih -ditumbuk
2 inci kunyit hidup -ditumbuk
1/2 cawan santan pekat
1/2 cawan air
Garam
Gula


Cara:

1. Buang kulit nenas, buang matanya. Lepas tu potong bulat setebal 1 cm. Setiap keping tu potong 6-8 bahagian macam potong pizza. Buang bahagian tengah yang keras tu yer. Ketepikan dulu.

Tengok nenas tu. Potong camtu yer.


2. Bersihkan udang pula. Buang bahagian tajam pada ekor, buang kaki-kakinya, buang helmet kat kepalanya tu, tapi jangan buang bahagian otaknya yer. Tu yang sedap tu. Hihi... Buang kulitnya separuh, tinggalkan kulit di bahagian ekor.
Nampak tak bahagian tajam kat ekor tu? Yang tu buang yer. Kalau kena jari, luka, boleh potong selera makan tau.

Ok, bersihkan sampai macam ni jer cukup. Buang helmet, kulit separuh, kaki, tajam kat ekor.


3. Bahan tumbuk tu seeloknya tumbuk lumat. Kalau ada chopper, gunalah chopper. Mommy pakai lesung batu jer.
Cili padi, bawang putih, bawang besar, kunyit hidup. Lupa nak snap gambar yang dah tumbuk.


4. Start masak. Dalam periuk, masukkan bahan tumbuk, nenas dan air. Masak sampai mendidih dan nenas lembut.
5. Masukkan santan sedikit-sedikit sampai dapat kepekatan kuah dan lemak seperti yang disukai. Kalau tak cukup 1/2 cawan, tambah lagi. Hihi. Pastikan sentiasa kacau untuk elak pecah minyak.
6. Masa ni imbangkan rasa gulai lemak dengan memasukkan gula dan garam.
Ambil seketul nenas tu, rasa. Kalau dah lembut tu kira ok la. Boleh ke next step.


7. Bila dah mendidih sikit, masukkan udang. Kacau dalam 2 minit jer cukup, sampai udang tukar warna dan masak. Tutup api. Siap!!!

Untuk shooting kita ambil sepinggan jer. Ada seperiuk lagi kat dapur tu. Hihi


Cukup lauk ni dengan nasi putih dan telur dadar!!! Mabeles!!!

Lauk-pauk

Sambal Sotong Sayap

Wednesday, March 29, 2017

Sambal Sotong Sayap


Kenapa nama ia sotong sayap? Sebab tu nama dia la kan. Ni sotong kering tau. Bukan sotong basah. Ingat tak kalau kita balik Ipoh, kalau free, Daddy bawa kita pergi Lumut? Daddy akan borong sotong sayap ni sampai kosong tray peniaga tu. Mommy pulak akan beli ikan bilis dan belacan. Ulin Ilan Arman confirm la beli segala keropok udang la, sate ikan la, sotong gula la...Ingat tak?

Dulu-dulu kalau beli sotong sayap ni memang banyak sayap sotong jer. Pastu jenuh nak kena asingkan tulang sotong yang banyak giler yang bercampur dalam sotong tu. Tapi sekarang tak. Boleh kata semua badan sotong jer. Elok la gitu kan. Setakat ni, Ulin dan Ilan jer yang makan sambal sotong ni. Arman memang belum lagi. Soffiya advance sikit dari Arman sebab dah start colek-colek sambal.

Ok, basically masak sambal sotong sayap ni sama jer macam masak sambal bilis. Senang jer. Alhamdulillah, sambal Mommy champion di hati Daddy. Daddy akan makan bertambah-tambah nasi kalau Mommy masak sambal sotong sayap ni. So, anak-anak Mommy kena cuba buat sampai jadi ok! Jom tengok.


Sambal Sotong Sayap


2 mangkuk kecil sotong sayap (agak-agak la banyak mana, tengok gambar)
6 sdb cili kisar (search cili kisar dalam ni yer)
1 biji bawang besar -dihiris
3 ulas bawang putih -dihiris
1 biji bawang besar -dipotong bulat
1 sdt asam jawa extra
1 sdb sos tiram
6 sdb minyak masak
3 sdb gula
Garam
Air

Sotong sayap

Cili kisar, asam jawa extra, bawang putih, bawang besar, bawang besar bulat.


Cara:

1. Rendam sotong dan ketepikan. Sementara itu sediakan bahan-bahan lain.
2. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga sedikit layu.


3. Masukkan cili kisar dan tumis hingga terbit minyak. Kacau la sikit-sikit yer. Jangan bior jer sambal tu.


4. Kalau nampak sambal macam nak hangit tu, masukkan asam jawa dan sedikit air ke dalam sambal. Kacau.
Asam jawa extra campur dalam sedikit air.
Nampak tak minyak mula terbit? Nampak tak macam nak hangit sambal tu?




5. Masukkan sos tiram dan kacau.


6. Toskan air rendaman sotong.


7. Masukkan sotong ke dalam kuali. Kacau lagi yer.


8. Masukkan garam dalam secubit dua dan gula. Gula tu masukkan sikit-sikit tau. Kacau dan imbangkan dengan garam sampai dapat rasa macam yang Mommy selalu masak. Ingat tak? Hehehe


9. Lepas tu masukkan bawang bulat. Kacau kacau kacau kacau kacau sampai bawang bulat tu lembut, pastu tutup api. Dah siap.....! Senang kan?



Sedap makan dengan nasi lemak woo.... Bertambah-tambah nasinya!

Seafood

Sotong Sumbat Yang Sedap

Saturday, March 11, 2017

Sotong Sumbat yang sedap.

Dalam peti ais ada 2 ekor jer sotong. Tapi saiznya besar. Kalau nasi putih dengan lauk sotong, nak makan berenam memang tak cukup ni. Jadi saya decide untuk buat nasi lemak dan sotong sebagai lauk sampingan. Kira ok lah tu kot ada telur rebus dan sambal bilis berserta timun.

So, special sikit kali ni. Kita cuba buat sotong sumbat. Biasanya orang sumbat dengan telur. Ada yang campur udang, ada yang campur tauhu, tapi saya campur dengan kentang. Konsep asasnya adalah sumbat. Kuahnya pula boleh dipelbagaikan ikut kesukaan. Ada yang suka masak kicap, kari, sambal ataupun goreng kunyit. Ikut la mana-mana suka. Saya buat kuah sambal kari.

Mungkin lapar, atau mungkin kena dengan selera. Encik suami tambah nasi 3 kali, anak lelaki tambah 2 kali dan anak perempuan tambah 1 kali. Kira puas hati sangat bila mereka berselera makan. Itu bermakna hidangan sotong sumbat saya ni menjadi la kan?? Hihi....

Nampak tak kat mana saya cucuk lidi?


Sotong Sumbat Yang Sedap


Bahan sotong:

2 ekor sotong -saiz besar senang sumbat
2 biji kentang -saiz kecil dipotong nipis
2 biji telur
1/2 biji bawang besar -dihiris
1 ulas bawang putih -dicincang
2 tangkai kacang buncis -dihiris
1 inci lobak merah -disagat
Lada sulah
Garam
Serbuk kunyit
Minyak masak


Bahan kuah:

1 biji bawang besar -dihiris
2 ulas bawang putih -dihiris
1 sdb udang kering -dicincang
2 tangkai daun kari
2 sdb cili kisar (semak resepi cili kisar saya yer)
1 sdb serbuk kari ikan
1/2 sdt pes asam jawa extra
1/2 sdb kicap pekat
1 sdb kicap manis
1 sdb sos tiram
Sedikit air
Garam
Gula
Minyak masak


Kicap manis, kicap pekat, sos tiram dan pes asam jawa extra.

Cili kisar, serbuk kari, daun kari, udang kering, bawang besar, dan bawang putih.

Cara sotong:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak masak dalam kuali. Tumis bawang besar dan bawang putih  hingga layu. 
2. Masukkan kacang buncis dan lobak merah. Gaul sebentar.
3. Pecahkan telur, masukkan secubit lada sulah dan secubit garam. Secubit yer, bukan sejemput tau. Gaul rata sampai telur sedikit berketul. Ala...macam buat scrambled egg tu.
4. Angkat scrambled egg dan sebelahkan.
5. Panaskan 5 sudu minyak masak. Goreng kentang hingga kuning kecoklatan. Angkat dan tumbuk sehingga hancur.
6. Kemudian kentang yang telah ditumbuk digaul dengan scrambled egg tadi. Ketepikan dulu sebab nanti nak sumbat dalam sotong.
7. Lumur sotong dengan serbuk kunyit dan secubit garam. Dalam minyak yang sama, goreng seketika sotong sehingga ia membulat atau separuh masak. Angkat dan ketepikan.
8. Sumbat campuran telur dan kentang ke dalam sotong. Sematkan hujungnya dengan lidi. Jangan sumbat terlalu padat sebab bila masak dengan kuah nanti melimpah pulak isinya. Setelah siap sumbat, ketepikan dulu.



Sotong yang telah digoreng sebentar, scrambled egg dan kentang yang telah ditumbuk.

Cara kuah:


1. Guna baki minyak yang sama, kita akan masak kuah untuk sotong sumbat pula.
2. Panaskan minyak, tumis bawang besar, bawang putih, udang kering dan daun kari sehingga layu sedikit.
3. Masukkan cili kisar dan serbuk kari. Tumis hingga terbit minyak.
4. Masukkan pes asam jawa extra dan sedikit air. Kacau.
5. Masukkan sos tiram, kicap pekat dan kicap manis. Masukkan sedikit air supaya tidak terlalu kering. Kacau. Perisakan dengan garam dan gula.
6. Masukkan sotong dan masak bersama kuah. Saya tutup kuali dengan penutup periuk sebentar untuk cepatkan sotong masak.
7. Setelah kuah sedikit pekat dan sotong cukup masak, boleh tutup api dan hidangkan sotong sumbat.

Jika suka, boleh kelar sotong macam dalam gambar. Atau potong bulat-bulat terus pun boleyyy....

Like us on Facebook

Flickr Images